Wednesday, September 18, 2013

Rahman Shaari

"Pilihlah kata-kata yang baik untuk politik bagus." - Rahman Shaari

Rahman Shaari ialah seorang sasterawan, penulis bebas dan ahli akademik warga Malaysia.

Nama penuhnya Abdul Rahman bin Shaari dilahirkan pada 5 September 1949 di Kampung Utan Lembah, Oran, Perlis.

Beliau menerima pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Guar Nangka pada tahun 1956 sehinga Darjah Lima dan menyambung Darjah Enam di Sekolah Kebangsaan Oran.

Beliau kemudiannya menyambung pelajaran di peringkat menengah di Sekolah Menengah Derma sehingga Tingkatan Tiga.

Mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan, beliau terpilih untuk mengikuti aliran sains di Sekolah Alam Shah, Cheras, Kuala Lumpur sehingga Tingkatan Lima. Kemudiannya beliau mengikuti aliran sastera untuk Tingkatan Enam di sekolah yang sama.

Pada tahun 1970 beliau telah mengikuti latihan perguruan di Maktab Perguruan Sultan Idris (kini dikenali sebagai UPSI) dan pada tahun 1973 beliau telah menjadi guru.

Beliau kemudiannya menyambung pelajarannya di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dengan mengikuti kursus di Institut Bahasa, Kesusasteraan dan Kebudayaan Melayu.

Beliau lulus Ijazah Sarjana Muda Persuratan pada tahun 1977 dan kembali menjadi guru. Beliau kembali ke negeri kelahirannya iaitu Perlis dan mengajar di Sekolah Menengah Syed Sirajuddin, Jejawi, Perlis dari tahun 1977 hingga 1979.

Tiga tahun kemudian, beliau kembali ke UKM dan menjadi tutor di Institut Bahasa, Kesusasteraan dan Kebudayaan Melayu.

Rahman Shaari lebih khusus kepada genre puisi dan sajak, namun aktif juga dalam genre sastera yang lain seperti cerpen, esei, novel dan drama.

Sewaktu menuntut di Maktab Perguruan Sultan Idris (MPSI), beliau pernah bergiat dalam bidang drama di bawah bimbingan saudara Noordin Hassan (kini Sasterawan Negara). Beliau juga menjadi penolong pengarah untuk drama Bukan Lalang Ditiup Angin yang diarahkan oleh Noordin Hassan.

Puisi pertama tulisan Rahman Shaari berjudul Buka Bicara yang disiarkan dalam majalah Dewan Sastera keluaran April 1971 ditulis sewaktu beliau masih menuntut di MPSI.

Antara karya-karya lain Rahman Shaari ialah seperti Di Sekitar Sastera dan Kritikan (1981), Kuntum Pertiwi (bersama Anwar Ridhwan, 1982), Gangguan (1988), Melati dan Bahang (1994) dan Suluh Peraba (1996).

Kini beliau menjadi kolumnis undangan untuk akhbar Sinar Harian.

Rahman Shaari dianugerahi Darjah Dato’ Panglima Sirajuddin Jamalullail (DPSJ) oleh DYMM Raja Perlis sempena ulang tahun keputeraan Baginda ke-70, pada 17 Mei 2013.

No comments: