Tuesday, September 17, 2013

J.K. Rowling

"Kita tidak perlukan magis untuk mengubah dunia. Kita sudah pun memiliki kuasa yang diperlukan dalam diri sendiri." - J.K. Rowling

J.K. Rowling ialah seorang penulis novel warga British yang terkenal dengan siri novel fantasi Harry Potter.

Nama sebenarnya Joanne 'Jo' Rowling dilahirkan pada 31 Julai 1965 di Yate, South Gloucestershire, England.

Beliau mendapat pendidikan awal di St. Michael's Primary School di Winterbourne, South Cloucestershire. Guru besarnya yang bernama Alfred Dunn dikatakan menjadi inspirasi Rowling kepada watak Albus Dumbledore di dalam siri novel Harry Potter.

Beliau kemudiannya melanjutkan pelajaran di Wyedean School and College di Sedbury, Gloucestershire.

Pada tahun 1982, Rowling telah menduduki ujian pemilihan untuk memasuki Universiti Oxford bagaimanapun tidak terpilih. Beliau kemudiannya memasuki Universiti Exeter dan mengambil jurusan Bahasa Perancis dan Sastera Klasik.

Setelah menamatkan pelajaran di Universiti Exeter, Rowling telah berhijrah ke London dan bekerja sebagai setiausaha di Amnesty International.

Pada tahun 1998, Rowling telah menulis sebuah esei yang berjudul What was the Name of that Nymph Again? or Greek and Roman Studies Recalled. Esei tersebut diterbitkan oleh jurnal Universiti Exeter yang bernama Pegasus.

Sewaktu berulang-alik menaiki keretapi dari rumahnya ke bandar London, Rowling telah mendapat ilham untuk sebuah kisah mengenai seorang kanak-kanak lelaki yang menuntut di sebuah institusi untuk menjadi seorang ahli sihir.

Rowling mula menulis manuskrip Harry Potter sewaktu kematian ibunya.

Pada tahun 1990 Rowling telah berpindah ke Portugal menjadi guru bahasa Inggeris. Beliau kemudian berkahwin dengan seorang wartawan warga Portugal bagaimanapun perkahwinan mereka tidak lama kerana akhirnya mereka bercerai setelah kelahiran anak perempuan mereka iaitu Jessica pada tahun 1993.

Akibat daripada perceraian tersebut, Rowling menghadapi masalah untuk menyara dirinya dan juga anaknya. Beliau menghabiskan draf manuskrip Harry Potter dan cuba untuk menjual manuskrip tersebut kepada syarikat penerbitan buku.

Akhirnya buku berjudul Harry Potter and the Philosopher's Stone berjaya diterbitkan pada tahun 1997. Akibat sambutan yang menggalakkan terhadap buku tersebut, Rowling telah menulis sinambungan terhadap kisah Harry Potter dengan siri Harry Potter yang terakhir berjudul Harry Potter and the Deathly Hallows diterbitkan pada tahun 2007.

Buku Harry Potter and the Philosopher's Stone kemudiannya diadaptasi menjadi filem pada tahun 2001.

Setelah perkahwinan pertamanya gagal, Rowling telah berkahwin pula dengan Dr. Neil Murray pada tahun 2001. Hasil daripada perkahwinan mereka dikurniakan seorang anak perempuan bernama Mackenzie Jean Rowling Murray dan kini mereka menetap di Scotland.

No comments: