Monday, October 21, 2013

Salahuddin al-Ayyubi

"Umur itu pendek dan ajal itu sentiasa mengancam." - Salahuddin al-Ayyubi

Salahuddin al-Ayyubi atau dikenali oleh Barat sebagai Saladin ialah seorang panglima tentera Islam yang terkemuka dalam Perang Salib.

Beliau dilahirkan di Tikrit, Iraq pada tahun 532 Hijrah bersamaan 1137 Masihi.

Beliau pernah berkhidmat kepada Sultan Nuruddin Zanki dan atas kecekapannya menjalankan tugas dengan cemerlang, beliau telah dihantar ke Mesir sebagai duta.

Di Mesir, beliau telah dilantik sebagai menteri kepada kerajaan Fatimiyah yang memerintah Mesir.

Beliau telah melantik beberapa pegawai kerajaan dari golongan Sunni meskipun kerajaan Fatimiyah adalah bermazhab Syiah. Akhirnya pada tahun 1170 Masihi beliau telah berjaya menghapuskan pengaruh Syiah di bumi Mesir.

Beliau kemudiannya menjadi pemerintah Mesir dan menegakkan fahaman Ahlus Sunnah Wal Jamaah dan memulakan Dinasti Ayyubiah. Salahuddin al-Ayyubi telah mendirikan benteng pertahanan di Bukit Muqattam untuk menangkis serangan daripada pemberontak-pemberontak Fatimiyah.

Pada bulan Rabiulakhir 583 Hijrah bersamaan bulan Julai 1187 Masihi, tentera Salahuddin al-Ayyubi telah menyerang Hattin dan menewaskan tentera Salib yang berada di situ. Ia sebagai membalas perbuatan tentera Salib yang telah menyerang rombongan jemaah Haji yang hendak menunaikan Haji di Mekah.

Salahuddin al-Ayyubi berjaya membunuh ketua tentera Salib yang bertanggungjawab atas serangan terhadap jemaah Haji tersebut iaitu Raynald of Châtillon.

Setelah berjaya membunuh Raynald of Châtillon dan hampir 20 ribu tentera Salib di Hattin, Salahuddin al-Ayyubi meneruskan misinya memerangi tentera Salib dan menawan beberapa kawasan yang diduduki oleh tentera Salib seperti Uka, Napolis, Ramla, Jaffa dan Beirut.

Beliau berjaya menawan Baitul Maqdis pada 2 Oktober 1187 dan menurunkan salib emas yang terdapat di puncak Masjidil Aqsa.

Tentera-tentera Salib yang diketuai oleh Frederick I Barbarossa, Philip II Augustus dan Richard the Lion Heart telah membentuk tiga pasukan untuk menyerang Baitul Maqdis dan menewaskan Salahuddin. Bagaimanapun cubaan mereka gagal dan mereka akhirnya membuat perjanjian damai dengan Salahuddin. Perjanjian ini telah meletakkan Baitul Maqdis berada di bawah pemerintahan Salahuddin al-Ayyubi dan Salahuddin berjanji akan menjaga kebajikan penduduk Kristian dan Yahudi yang berada di situ.

Salahuddin al-Ayyubi meninggal dunia pada 27 Safar 589 Hijrah bersamaan 1193 Masihi ketika berusia 55 tahun di Damsyik.

No comments: