Sunday, September 8, 2013

Lee Kuan Yew

"Saya tidak selalunya obses dengan populariti. Tidak keterlaluan bimbang pada pendapat orang ramai. Seorang pemimpin yang obses dengan populariti adalah seorang pemimpin yang lemah!" - Lee Kuan Yew

Lee Kuan Yew ialah bekas Perdana Menteri Singapura dan Menteri Mentor Singapura.

Lee Kuan Yew dilahirkan pada 16 September 1923 di Kampung Jawa, Singapura.

Beliau digelar sebagai Bapa Singapura kerana menjadi Perdana Menteri Singapura yang pertama setelah Singapura keluar daripada Malaysia pada tahun 1965 dan menjadi sebuah republik.

Lee Kuan Yew juga sering dikenali dengan akronim namanya iaitu LKY.

Lee Kuan Yew menjadi Perdana Menteri Singapura selama tiga dekad. Beliau juga dikenali sebagai pengasas Singapura moden.

Lee Kuan Yew mendapat pendidikan awal di Sekolah Rendah Teluk Kurau dan kemudian melanjutkan pelajarannya di Raffles Institution.

Bagaimanapun pengajiannya terpaksa ditangguhkan apabila Jepun menyerang Tanah Melayu dan menduduki Singapura pada tahun 1942 hingga 1945.

Semasa pendudukan Jepun, Lee Kuan Yew telah menjadi penyunting bahasa Inggeris di bahagian propaganda Jepun, Hodobu bermula pada tahun 1943 dan 1944 kerana kemahirannya berbahasa Inggeris, Cina dan Jepun.

Setelah Perang Dunia Kedua tamat, Lee Kuan Yew menyambung kembali pelajarannya dalam bidang undang-undang di Kolej Fitzwilliam, Cambridge, United Kingdom dan mendapat ijazah kelas pertama.

Setelah menamatkan pelajaran pada tahun 1949, beliau kembali ke Singapura dan menjadi peguam.

Lee Kuan Yew telah menceburkan diri dalam politik dengan menyertai Parti Progresif yang pro-British pada Pilihan Raya Umum 1951.

Pada tahun 1954, Lee Kuan Yew telah menubuhkan sebuah kelab sosialis People's Action Party (PAP) yang dianggotai oleh mereka yang berpendidikan Inggeris dan berada dalam kelas pertengahan.

Lee Kuan Yew telah memenangi kerusi Tanjong Pagar dalam Pilihan Raya Umum 1955 dan menjadi ketua pembangkang.

Kedudukan Lee Kuan Yew di dalam PAP terancam pada tahun 1957 apabila ramai ahli yang pro-komunis mengambil alih kepimpinan dan menyerap ahli palsu.

PAP memenangi 43 daripada 51 buah kerusi dewan perundangan dalam Pilihan Raya Umum 1957. Singapura dibenarkan menjalankan pentadbiran dengan kuasa autonomi kecuali dalam bidang pertahanan dan hal-ehwal luar negara.

Lee Kuan Yew telah dilantik menjadi Perdana Menteri Singapura pertama pada 5 Jun 1959. Sebelum ini Singapura hanya mempunyai Ketua Menteri iaitu Lim Yew Hock.

Pada tahun 1961, Tunku Abdul Rahman yang dilantik menjadi Perdana Menteri Malaya (Tanah Melayu) telah mencadangkan pembentukan sebuah gagasan yang merangkumi Malaya, Singapura, Sabah dan Sarawak.

Lee Kuan Yew menyambut baik akan rancangan tersebut dan bersetuju untuk menyertai gagasan tersebut. Gagasan itu dibentuk pada 16 September 1963 dan diberi nama Malaysia. Pada mulanya keadaan agak berjalan lancar bagaimanapun pada tahun 1964 Lee Kuan Yew telah melahirkan rasa tidak puas hati dengan hak orang Melayu dan telah mencadangkan suatu konsep yang dikenali sebagai Malaysian-Malaysia.

Parti UMNO yang menjadi dominan dan memerintah Malaysia pula bimbang dengan kemasukan Singapura di dalam Malaysia dan juga penentangan dasar bumiputera secara terbuka oleh Lee Kuan Yew dengan slogan Malaysian-Malaysia.

Hubungan antara PAP dan UMNO semakin tegang dan ahli UMNO mahu agar Lee Kuan Yew ditahan di bawah ISA. Bagaimanapun, sekiranya Lee Kuan Yew ditahan di bawah ISA, golongan pro-komunis pula akan menjadi lebih berkuasa.

Satu rusuhan kaum telah berlaku di Kallang Gasworks, Singapura pada 21 Julai 1964. Dalam rusuhan tersebut, 23 orang telah terbunuh. Perusuh telah melakukan kerosakan harta benda dan memaksa Tunku Abdul Rahman dan Lee Kuan Yew agar turun padang menenangkan keadaan.

Akibat daripada rusuhan tersebut, Tunku Abdul Rahman tiada jalan lain selain mengeluarkan Singapura daripada Malaysia walaupun Lee Kuan Yew cuba untuk berkompromi dan mencari jalan menyelesaikan krisis tersebut. Namun, setelah dipujuk oleh Goh Keng Swee yang merupakan Timbalan Perdana Menteri Singapura, Lee Kuan Yew akur dengan pemisahan tersebut.

Pada 7 Ogos 1965, suatu perjanjian telah ditandatangani di mana Singapura secara rasminya keluar daripada Malaysia dan membentuk pemerintahan sendiri iaitu sebuah kerajaan republik bagaimanapun masih meneruskan kerjasama perdagangan dan pertahanan.

Lee Kuan Yew meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri Singapura pada 28 November 1990 dan tempatnya digantikan oleh Goh Chok Tong. Goh Chok Tong bagaimanapun telah melantik Lee Kuan Yew sebagai Menteri Kanan Singapura bermula pada 28 November 1990 hingga 12 Ogos 2004.

Lee Kuan Yew menjadi Menteri Mentor Singapura setelah Perdana Menteri Singapura, Goh Chok Tong meletakkan jawatan pada 12 Ogos 2004 dan tempatnya digantikan oleh anak lelaki Lee Kuan Yew sendiri iaitu Lee Hsien Loong.

No comments: