Thursday, September 5, 2013

Lee Iacocca

"Kita berhadapan dengan peluang yang hebat dalam bentuk masalah yang membuntukan." - Lee Iacocca

Lee Iacocca ialah seorang ahli perniagaan warga Amerika Syarikat yang dikenali untuk kejuruteraan kereta Ford Mustang dan Ford Pinto sewaktu beliau menyertai Ford Motor Company dan kebangkitan beliau apabila menyertai Chrysler Corporation pada tahun 80-an.

Nama penuhnya ialah Lido Anthony 'Lee' Iacocca dilahirkan pada 15 Oktober 1924 di Allentown, Pennsylvania, Amerika Syarikat.

Beliau berasal daripada keluarga Itali yang berhijrah ke Amerika Syarikat dan ayahnya telah membuka sebuah restoran yang dikenali sebagai Yocco's Hot Dogs.

Iacocca menamatkan pendidikan peringkat menengah di Allentown High School (kini dikenali sebagai William Allen High School) pada tahun 1942 dan melanjutkan pelajaran di Lehigh University dan mendapat ijazah dalam bidang kejuruteraan industri.

Setelah itu beliau melanjutkan pelajarannya ke Universiti Princeton dan setelah menamatkan pengajian beliau menjadi jurutera di Ford Motor Company. Agak bosan dengan tugasnya sebagai jurutera, Iacocca bertukar ke bahagian jualan dan menjadi seorang jurujual kereta yang berjaya sehingga beliau dinaikkan pangkat ke bahagian pengurusan.

Iacocca kemudiannya berpindah ke syarikat pesaing iaitu Chrysler Corporation dan berjaya melonjakkan jualan kereta keluaran Chrysler.

Pada tahun 1984, Iacocca bersama seorang penulis iaitu William Novak telah menghasilkan sebuah autobiografi tentang dirinya yang berjudul Iacocca: An Autobiography. Itu merupakan permulaan bagi dirinya dalam bidang penulisan.

Iacocca kemudiannya menghasilkan beberapa buah buku berkaitan dengan perniagaan dan pengurusan seperti Taking Straight (menulis bersama Sonny Klenfield) (1988) dan Where Have All the Leaders Gone? (2007).

Iacocca juga pernah melibatkan diri dalam bidang lakonan. Beliau menjadi pelakon undangan dalam siri TV Miami Vice pada tahun 1986.

No comments: