Monday, August 5, 2013

Datuk Onn Jaafar

"Kita hendaklah menggesek biola dengan kuat akan lagu gesekan kita, jangan sampai orang lain menggesek dan kita hanya menari sahaja menurut lagu gesekannya." - Dato' Onn Jaafar

Dato' Sir Onn bin Jaafar, KBE ialah ahli politik dan nasionalis Tanah Melayu.

Beliau dilahirkan pada 12 Februari 1895 di Bukit Gambir, Johor Bahru, Johor.

Sewaktu kecil Dato' Onn Jaafar telah dipelihara oleh Sultan Johor iaitu Sultan Ibrahim ibni Sultan Abu Bakar.

Dato' Onn mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu sebelum melanjutkan pelajarannya di England.

Pada tahun 1930 Dato' Onn telah menjadi seorang wartawan. Beliau pernah menjadi wartawan untuk akhbar Lembaga Malaya dan Harian Lembaga.

Beliau pernah berkhidmat sebagai pegawai kerajaan iaitu sebagai Pegawai Daerah bagaimanapun meletakkan jawatannya kerana membantah dasar-dasar yang digunakan oleh penjajah yang berbentuk penindasan.

Dato' Onn adalah seorang yang aktif dalam kegiatan nasionalisme dan terlibat dalam perhimpunan menentang Malayan Union di Kelab Sultan Sulaiman, Kuala Lumpur pada 1 hingga 4 Mac 1946.

Pada 1 Jun 1947 Dato' Onn telah dilantik menjadi Menteri Besar Johor bagaimanapun beliau cuma berkhidmat selama tiga tahun dan meletakkan jawatannya untuk menumpukan kepada gerakan nasionalisme.

Dato' Onn Jaafar mengasaskan sebuah gerakan nasionalisme dikenali sebagai Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu atau akronim di dalam bahasa Inggeris dikenali sebagai UMNO.

UMNO merupakan sebuah gerakan kebangsaan yang berjaya memaksa kerajaan British untuk membubarkan dan menghentikan Malayan Union yang merupakan ancaman kepada hak istimewa orang Melayu dan juga kedudukan Raja-Raja Melayu.

Akibatnya, Malayan Union telah dibatalkan dan digantikan dengan Persekutuan Tanah Melayu yang mengekalkan kedudukan Raja-Raja Melayu dan juga hak istimewa orang Melayu.

UMNO kemudiannya menjadi parti politik dan Dato' Onn mencadangkan agar keahliannya dibuka kepada semua kaum yang menjadi warganegara Persekutuan Tanah Melayu. Beliau juga mencadangkan nama UMNO ditukar kepada Pertubuhan Kebangsaan Penduduk Tanah Melayu Bersatu.

Cadangan Dato' Onn telah ditentang dan Dato' Onn kemudiannya meletakkan jawatan sebagai Presiden UMNO.

Dato' Onn menubuhkan sebuah parti politik baharu iaitu Parti Kemerdekaan Malaya (IMP) pada 26 Ogos 1951.

Akibat tidak mendapat sokongan daripada orang Melayu, Dato' Onn telah meninggalkan parti tersebut dan menubuhkan pula Parti Negara pada tahun 1954. Dato' Onn telah bertanding atas nama Parti Negara dalam Pilihan Raya Umum yang pertama pada tahun 1955.

Dato' Onn gagal mendapat sebarang kerusi dalam pilihan raya tersebut. Beliau mencuba lagi dalam Pilihan Raya Umum 1959 dan kali ini dengan bantuan parti PAS beliau telah memenangi satu kerusi untuk parlimen Kuala Terengganu Selatan.

Dato' Onn Jaafar mendirikan rumah tangga bersama Datin Halimah Hussein dan dikurniakan tiga orang anak. Antara anaknya yang mengikut jejak langkahnya menyertai politik ialah Allahyarham Tun Hussein Onn yang menjadi Perdana Menteri Malaysia ketiga. Legasi Dato' Onn dalam bidang politik diteruskan apabila cucunya Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein turut menyertai politik dan pernah menjadi Menteri Pelajaran dan juga Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri serta Menteri Pertahanan Malaysia.

Dato' Onn Jaafar meninggal dunia pada 19 Januari 1962 di Johor Bahru ketika berusia 66 tahun.


No comments: