Wednesday, December 11, 2013

Dato' Nooh Gadot

"Bagi tujuan mentadbir sesebuah negara, penting seseorang pemimpin itu dipilih dalam kalangan mereka yang berperibadi tinggi termasuk dari sudut agama, akhlak dan ilmunya." - Dato' Nooh Gadot*

Dato' Haji Nooh bin Gadot ialah seorang tokoh agama Islam warga Malaysia.

Beliau dilahirkan pada 7 November 1946 di Segamat, Johor, Malaysia.

Beliau pernah menjawat jawatan Mufti bagi negeri Johor pada tahun 1999 sehingga tahun 2008.

Beliau juga menjadi Penasihat Agama Islam kepada DYMM Sultan Johor dan Penasihat Majlis Agama Islam Negeri Johor.

Dato' Haji Nooh bin Gadot ialah Ahli Majlis Diraja Johor dan Majlis Agama Islam Johor.

Beliau menamatkan pengajian di Universiti Al-Azhar di Mesir dengan Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang Islam dan Syariah Islamiah.

Beliau mendapat pendidikan Islam tinggi dari Institusi Maahad di Johor dalam jurusan As-Syahadah Al-Thanawiyyah, Sekolah Menengah Arab, Madrasah Al-Khairiyyah Al-Arabiyyah – As- Syahadah Al-Ibtidaiyyah, Segamat dan Sekolah Rendah Islam Negeri Johor.

Beliau juga menghadiri kursus mengenai Pengurusan Fatwa Darul Iffa di Kementerian Keadilan Mesir di bawah pengawasan Mufti Mesir iaitu Al-Ustaz Al-Kabeer Dr. Syed Muhammad Tantawi dan Pengurusan dan Pentadbiran Wakaf yang dianjurkan oleh Lembaga Wakaf Mesir.

Sebelum dilantik sebagai Mufti Johor pada tahun 1999, Dato' Haji Nooh telah dilantik sebagai Naib Mufti Johor dan Ketua Penolong Pengarah, Jabatan Pentadbiran Undang-Undang Syariah (Kadi).

Pengalaman luas beliau dalam amalan Islam dan fiqh, metodologi perundangan, hadis dan sains kerohanian telah diperolehi sepanjang perkhidmatan beliau sebagai Pemangku Kadi, Peguam Syarie, Pegawai Hal Ehwal Islam Jabatan Agama (Jabatan Perdana Menteri), Pemangku Penolong Peperiksaan dan Pendaftar Sekolah Agama Negeri Johor dan Guru Agama Negeri Johor.

Beliau bersara wajib daripada jawatan Mufti Johor pada bulan November 2002 dan meneruskan khidmatnya sehingga 13 November 2008 dan kini kekal sebagai Penasihat kepada Majlis Agama Islam Negeri Johor.

Sejak tahun 2001 sehingga kini, beliau aktif membentangkan kertas kerja dan idea dalam pelbagai isu yang berkaitan dengan agama yang membawa kesan ke dalam kehidupan sosial dan kerohanian masyarakat.

Dato' Haji Nooh bin Gadot telah dianugerahkan anugerah berprestij Maal Hijrah bagi negeri Johor pada tahun 2009.



*sumber: Utusan Malaysia.

No comments: