Thursday, December 12, 2013

Tan Sri Abdul Aziz Tapa

"Dalam perjuangan politik, wadah untuk agama, bangsa dan tanah air merupakan perkara yang paling utama berbanding kepentingan, hajat dan kemahuan peribadi." - Tan Sri Abdul Aziz Tapa*

Tan Sri Datuk Wira Abdul Aziz Tapa ialah seorang tokoh politik warga Malaysia.

Tan Sri Datuk Wira Abdul Aziz bin Tapa dilahirkan pada 13 Jun 1928 di Kampong Rim, Jasin, Melaka.

Beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Jasin pada usia tujuh tahun.

Pada tahun 1938, beliau lulus Darjah 6 dan setahun kemudian beliau telah diterima untuk belajar di Maktab Perguruan Sultan Idris (kini UPSI) di Tanjong Malim, Perak.

Bagaimanapun, pengajian beliau telah terhenti akibat meletusnya Perang Dunia Kedua dan beliau telah dihantar ke Port Dickson untuk menyertai Pasukan Tentera Sukarela Persekutuan Tanah Melayu.

Beliau berkata bahawa beliau bernasib baik kerana ditempatkan sebagai Polis Rejimen (RP) di kem Port Dickson selepas tamat latihan.

Sebagai tentera sukarela, beliau tidak terikat dengan undang-undang tentera dan memilih untuk meninggalkan perkhidmatan apabila Jepun telah mengawal sepenuhnya Malaya dan Singapura.

Beliau kemudiannya belajar bahasa Jepun selama tiga bulan di Sekolah Jepun dan menjadi seorang guru sains.

Tan Sri Datuk Wira Abdul Aziz Tapa kembali menyambung pelajarannya di Maktab Perguruan Sultan Idris dari tahun 1945 hingga 1947.

Dalam kerjaya perguruan, beliau telah menerima latihan di Maktab Perguruan Ilmu Khas, Cheras, Kuala Lumpur dalam bidang seni dan kfartangan.

Beliau telah mengajar di beberapa sekolah rendah dan menengah di Melaka, dan memegang jawatan seperti Naib Pengetua dan Pengetua.

Pada tahun 1974 beliau telah bersara dari bidang perguruan dan memberi tumpuan pula kepada bidang politik.

Kerjaya politiknya telah bermula pada tahun 1946 dengan menyertai Persatuan Melayu Johor cawangan Melaka yang dianjurkan oleh Dato' Onn Jaafar.

Semasa Kongres Melayu Ketiga pada 11 Mei 1946, parti UMNO telah ditubuhkan secara rasminya.

Dengan tertubuhnya UMNO, Persatuan Melayu Johor secara automatik telah dibubarkan dan semua ahli-ahlinya termasuk Tan Sri Datuk Wira Abdul Aziz Tapa menjadi ahli UMNO.

Beliau aktif dalam aktiviti Pemuda UMNO Melaka sehingga tahun 1957.

Pada penghujung tahun 1957, Kongres Kebudayaan Melayu yang pertama telah diadakan di Melaka.

Sebagai Bendahari Kongres, Tan Sri Datuk Wira Abdul Aziz Tapa bekerja keras mencari sumber kewangan yang diperlukan untuk membiayai pergerakan kongres.

Sejak itu, beliau terus menumpukan kepada aktivitinya untuk mengangkat bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan melalui Persatuan Sastera dan Kebudayaan terutamanya melalui Solidariti Literasi Melayu di mana beliau adalah ahlinya sejak tahun 1952.

Kesetiaan Tan Sri Datuk Wira Abdul Aziz Tapa terhadap UMNO tidak pernah goyah walaupun beliau tidak aktif di dalam parti untuk beberapa ketika.

Apabila UMNO bahagian Jasin dirombak pada tahun 1972, Tan Sri Datuk Wira Abdul Aziz Tapa menghidupkan semula kerjaya politiknya dengan menjadi Pengerusi Tetap UMNO bahagian Jasin.

Pada tahun 1974, Tan Sri Datuk Wira Abdul Aziz Tapa telah dipilih sebagai Timbalan Ketua bahagian Jasin dan pada tahun 1978 beliau menjadi Naib Ketua UMNO Bahagian.

Beliau menjadi Bendahari UMNO Melaka selama sembilan tahun berturut-turut sejak tahun 1978 hingga 1986.

Aziz Tapa merupakan seorang yang kreatif.Beliau berbakat dalam seni lukis, seni bina dan reka, seni tari, seni dalam penulisan budaya sastera dan sebagainya.

Beliau dilantik sebagai Ahli Majlis Penasihat Kebudayaan Kebangsaan (1972-1996), Ahli Lembaga Amanah Balai Seni Lukis Negara (1976-1988), Pengerusi Persatuan Peladang Malaysia (1979-1986) dan Ahli Lembaga Pengarah MARA (1975-1977).



*sumber: Utusan Malaysia, Arkib Negara, wikipedia

No comments: