"Melalui pemerhatian saya, saya rasa rakyat Malaysia kurang mendalami sejarah, sebab itulah ramai yang tidak patriotik dan tidak sayangkan negara." - Duli Yang Maha Mulia Sultan Sharafuddin Idris Shah Ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah*
Sultan Sharafuddin Idris Shah Ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah ialah Sultan Selangor yang ke-9.
Baginda diputerakan pada 24 Disember 1945 di Istana Jema'ah, Klang ketika Perang Dunia Kedua baru beberapa bulan berakhir.
Ketika baginda dilahirkan 67 tahun yang lalu, British baru kembali menjajah Selangor dan negeri-negeri lain di Tanah Melayu.
Ayahanda baginda ialah Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah iaitu Yang di-Pertuan Agong yang ke-11 (1992 - 2001) manakala nenda baginda, Almarhum Sultan Hisamuddin Alam Shah merupakan Yang di-Pertuan Agong Ke-2 yang menjadi Ketua Negara Malaysia selama 140 hari sahaja antara 14 April 1960 hingga 1 September 1960.
Sultan Sharafuddin amat meminati sejarah iaitu suatu minat yang dipupuk oleh Almarhum Sultan Salahuddin. Ketika baginda masih muda, Almarhum ayahanda baginda memberikan buku-buku sejarah serta memaksa baginda mendalami sejarah Selangor dan Malaysia.
Baginda mendapat pendidikan rendah di Kuala Lumpur tetapi kemudian melanjutkan pelajaran di Australia dan United Kingdom.
Ketika menjadi Raja Muda Selangor, baginda pernah belayar mengelilingi dunia selama 22 bulan antara tahun 1995 dan 1997 dengan menaiki kapal layar SY Jugra.
Baginda juga merasai liku-liku sukar dan bahaya memandu kereta vintaj menempuh perjalanan sejauh 16,000 kilometer
dari Beijing, China ke Paris, Perancis.
Setelah menjadi Sultan Selangor, baginda telah memperuntukkan dalam setahun baginda sekurang-kurangnya akan berkunjung ke dua buah negara. Baginda biasanya melawat sesebuah negara selama 10 hari iaitu tempoh yang memadai untuk baginda memahami budaya dan sejarah sesuatu tempat.
Baginda menyifatkan Amerika Selatan sebagai benua yang kaya budaya dan sejarah.
* Artikel Wasiat jadi pegangan Sultan Sharafuddin oleh Baharom Mahusin dan Najibah Hassan, Kosmo! 16 Disember 2012.
No comments:
Post a Comment