Sunday, November 24, 2013

Za'ba

"Tuhan selalu mencela keras akan orang-orang yang hanya mengikut dengan buta tuli sahaja apa yang dikatakan orang atau apa yang biasa dibuat orang. Umpama mereka yang berdegil mengikut jalan nenek moyang atau pendapat orang dahulu-dahulu dengan tiada ditimbang lagi salah benarnya atas neraca timbangan akal sendiri, bahkan tiada dikira walaupun berlawanan dengan akal fikiran yang insaf dan bersalahan dengan ilmu pengetahuan yang sah betulnya." - Za'ba

Za'ba ialah seorang penulis dan pakar bahasa Melayu warga Malaysia.

Nama sebenarnya ialah Zainal Abidin bin Ahmad dilahirkan pada 16 September 1895 di Batu Kikir, Negeri Sembilan. Beliau turut dikenali dengan panggilan Pendeta Za'ba.

Za'ba mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Batu Kikir ketika berusia 12 tahun kemudian melanjutkan pelajaran di Sekolah Melayu Linggi untuk mendalami pengajian Arab dan Islam.

Pada tahun 1910 beliau belajar di St. Paul's Institution dan lulus peperiksaan Senior Cambridge pada tahun 1915.

Setelah itu beliau menjadi pensyarah di School of Oriental and African Studies, Universiti London mengajar bahasa Melayu.

Beliau memperolehi ijazah Sarjana Muda Sastera untuk Pengajian Bahasa Melayu dan Bahasa Arab pada tahun 1953.

Za'ba minat membaca dan mempunyai bakat menulis. Beliau mula menulis sewaktu menjadi guru di Johor Bahru pada tahun 1916.

Kebanyakan karya-karyanya diterbitkan dalam akhbar-akhbar tempatan dan majalah.

Antara karya beliau yang terkenal ialah Pelita Bahasa Melayu, Ilmu Mengarang Melayu dan Daftar Ejaan Jawi/Rumi.

Karyanya yang lain seperti Cerita-Cerita Shakespeare dalam Bahasa Melayu telah diterbitkan oleh syarikat Percetakan Gudang Chap, Singapura.

Beliau juga banyak menulis esei yang berbentuk kritikan sosial terhadap kelemahan masyarakat Melayu dan menentang penjajahan British.

Tulisan-tulisan beliau juga telah memainkan peranan dalam pembentukan parti pemerintah Malaysia iaitu UMNO.

Za'ba meninggal dunia pada 23 Oktober 1973 ketika berusia 78 tahun.

sumber: Dewan Bahasa dan Pustaka

No comments: