Wednesday, April 3, 2013

Tuk Kenali

"Ilmu itu apa yang terguris di dalam hati." - Tuk Kenali

Tuk Kenali atau Tok Kenali ialah seorang ulama dan tokoh pemikir Islam yang agung di Tanah Melayu. Beliau juga adalah pencetus ilmu pengajian Islam di Tanah Melayu dan Asia Tenggara pada awal abad ke-20.

Nama sebenarnya ialah Muhammad Yusuf bin Ahmad dilahirkan pada tahun 1870 di Kubang Kerian, Kelantan.

Tok Kenali mendapat pendidikan awal tentang pengetahuan agama Islam daripada datuknya, encik Salleh yang dikenali juga sebagai Tok Leh. Tok Leh telah mengajarnya membaca al-Quran dan menulis.

Tok Kenali kemudiannya meyambung pelajarannya di Masjid Besar al-Muhammadi dan tempat-tempat pengajian Islam yang lain di sekitar Kota Bharu. Ketika itu beliau baru berusia 10 tahun.

Antara guru-guru beliau ialah Tuan Haji Wan Ismail iaitu ayahanda Perdana Menteri Paduka Raja Kelantan, Dato' Nik Mahmud, Encik Idris iaitu Mufti Kerajaan Kelantan, Tuan Guru Hj. Ibrahim juga pernah menjadi Mufti Kerajaan Kelantan, Syeikh Muhammad Ali bin Ab. Rahman dan Tuan Guru Hj. Ahmad.

Tok Kenali juga pernah menjadi murid kepada Wan Ahmad bin Muhammad Zain yang lebih dikenali sebagai Syeikh Wan Ahmad Patani iaitu seorang ulama nusantara yang terkemuka.

Pada tahun 1887 Tok Kenali telah menunaikan fardhu Haji di Mekah ketika berusia 18 tahun. Tok Kenali juga menyambung pengajiannya di Kota Suci Mekah dengan sumbangan daripada sahabat dan kenalannya sebanyak 50 ringgit manakala ibunya membekalkannya sebanyak 22 ringgit.

Tok Kenali juga berkesempatan melawat negeri Mesir pada tahun 1904 bersama gurunya Syeikh Wan Ahmad Patani, encik Nik Mahmud dan Hj. Ismail Patani.

Setelah 22 tahun berada di Kota Suci Mekah, Tok Kenali pulang ke tanah air pada tahun 1909.

Pada tahun 1911 beliau telah membuka sebuah pusat pengajian yang dikenali sebagai Pondok Kenali. Dua tahun kemudian, Tok Kenali menjadi guru di Masjid Besar al-Muhammadi Kota Bharu yang merupakan pusat pengetahuan agama terbesar di Kelantan.

Tok Kenali meninggal dunia pada 19 November 1933 disebabkan oleh penyakit di kakinya.

No comments: