Monday, November 26, 2012

Prof. Syed Muhammad Naquib Al-Attas

"Sebuah buku dapat kekal lama selepas kerajaan, manusia, negara, catatan pemikiran dan tindakan manusia." - Prof. Syed Muhammad Naquib Al-Attas.

Profesor Syed Muhammad Naquib Al-Attas ialah seorang ahli falsafah dan ilmuan Melayu di Malaysia.

Profesor Syed Muhammad Naquib Al-Attas dilahirkan di Bogor, Jawa Barat, Indonesia pada 5 September 1931.

Beliau mendapat pendidikan awal di Johor, Malaysia ketika berusia lima tahun dan belajar bahasa Arab di Madrasah Al-`Urwatu’l-Wuthqa di Jawa, Indonesia sewaktu pendudukan Jepun di Asia Tenggara.

Setelah Perang Dunia Kedua tamat pada tahun 1946, beliau telah kembali ke Johor, Malaysia dan melanjutkan pelajarannya dalam bidang sastera Melayu, sejarah dan kebudayaan Barat.

Setelah tamat belajar beliau telah menyertai Angkatan Tentera pada tahun 1952 dan mendapat pangkat Leftenan bagaimanapun kerana kurang minat dalam bidang ketenteraan, beliau telah kembali menuntut ilmu di Universiti Malaya dan seterusnya melanjutkan pelajarannya di Universiti McGill di Montreal, Kanada dan bergelar M.A. Seterusnya beliau melanjutkan lagi pelajarannya di Universiti of London dan mendapat gelaran PhD.

Pada tahun 1987 beliau telah mendirikan sebuah institusi pengajian tinggi yang dikenali sebagai International Institute of Islamic Thought and Civilization (ISTAC) di Kuala Lumpur, Malaysia.

Beliau kini menetap di Malaysia dan turut aktif menulis buku. Antara karya-karya beliau seperti The Correct Date of the Terengganu Inscription (1970), Islam Dalam Sejarah dan Kebudayaan Melayu (1972), Comments on the Re-Examination of Al-Raniri’s Hujjat au’l Siddiq: A Refutation (1975), Islam and Secularism (1978) dan yang terbaharu Historical Fact and Fiction (2011).

Profesor Syed Muhammad Naquib Al-Attas menerima anugerah Tokoh Melayu Terbilang 2011. Beliau juga dilantik sebagai Profesor Pelawat Terhormat di Pusat Kajian Lanjutan Mengenai Islam, Sains dan Tamadun (CASIS) Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

No comments: