"Biarpun saya gagal tiba di garisan penamat, kita perlu memberi peluang kepada yang lain untuk terus berjuang. Ia perlu diteruskan walaupun tanpa saya." - Terry Fox
Terry Fox ialah seorang atlet, penyelidik kanser dan aktivis kemanusiaan warga Kanada.
Nama penuhnya Terrance Stanley Fox dilahirkan pada 28 Julai 1958 di Winnipeg, Manitoba, Kanada.
Beliau pernah menyertai pasukan bola keranjang sekolahnya iaitu Mary Hill Junior High School sewaktu Tingkatan Dua dan juga menjadi atlet olahraga untuk menyenangkan hati jurulatihnya yang merasakan bahawa Fox lebih sesuai dalam sukan larian jarak jauh.
Apabila Fox melanjutkan pelajaran di Universiti Simon Fraser, beliau telah mencuba untuk menyertai pasukan bola keranjang universiti tersebut dan berjaya.
Pada tahun 1976, Terry Fox telah terlibat dalam satu kemalangan kereta di Port Coquitlam dan mendapat kecederaan pada lutut kanannya. Meskipun mengalami kecederaan, Fox tetap bermain bola keranjang universiti sehingga musim akhir pertandingan bola keranjang tersebut.
Pada bulan Mac 1977, Fox telah didiagnosis menghidap osteosarkoma iaitu sejenis barah yang biasanya berpunca dari tepi lutut. Fox menyangka bahawa penyakit tersebut adalah berpunca daripada kemalangan yang dialaminya sebelum ini bagaimanapun para doktor menyangkal dakwaan tersebut.
Doktor yang merawatnya memberitahu bahawa kaki Fox terpaksa dipotong dan Fox perlu menjalani rawatan kemoterapi manakala peluang hidupnya hanya 50 peratus.
Meskipun kaki Fox dipotong dan Fox terpaksa menggunakan kaki palsu, namun keazaman untuk hidup yang tinggi dalam diri Fox adalah mengagumkan. Fox mampu berjalan selepas tiga minggu kakinya dipotong dan melakukan aktiviti lasak seperti bermain golf bersama bapanya.
Fox juga pernah bermain bola keranjang mengggunakan kerusi roda di Vancouver, Kanada dan merangkul tiga gelaran juara kejohanan nasional.
Fox menjadi penerima termuda bagi gelaran Companion of the Order of Canada dan menerima Anugerah Lou Marsh pada tahun 1980 iaitu anugerah tertinggi yang pernah diterima oleh atlet Kanada.
Terry Fox mendapat inspirasi untuk berlari maraton setelah membaca kisah Dick Traum, seorang pesakit amputasi pertama yang berjaya menghabiskan Maraton New York pada tahun 1976 dengan menggunakan kaki palsu.
Fox telah berlatih maraton secara diam-diam selama 14 bulan dan menghadapi kesakitan pada permulaan latihannya. Dengan keazaman yang kuat, beliau akhirnya berjaya mengatasi kesakitan tersebut dan lariannya menjadi semakin mudah.
Pada tahun 1979, Fox telah menyertai satu pertandingan maraton dan menamatkan larian di tempat terakhir. Meskipun Terry Fox tewas dalam pertandingan itu, namun semangat dan keazaman untuk menamatkan pertandingan tersebut telah mendapat tepukan gemuruh daripada para penonton.
Setelah menyertai pertandingan maraton tersebut, Fox meluahkan hasrat kepada ahli keluarganya untuk berlari maraton secara solo mengelilingi Kanada bagi membiayai penyelidikan kanser kerana mendapati dana yang ditujukan untuk penyelidikan barah pada waktu itu adalah sangat sedikit.
Matlamat Terry Fox adalah untuk meraih CAD1 (RM3) daripada setiap 24 juta penduduk Kanada untuk membiayai penyelidikan kanser di Kanada. Rancangan itu pada asalnya dibantah oleh ahli keluarganya namun mereka akhirnya memberi sokongan padu pada rancangan Fox dan menamakan larian tersebut sebagai Marathon of Hope (Maraton Harapan).
Marathon of Hope dimulakan pada tahun 1980 dan Fox berjaya membuat larian selama 143 hari dengan jarak 5,373 kilometer sebelum beliau dipaksa menghentikan lariannya selepas penyakitnya merebak ke bahagian paru-paru.
Harapan Terry Fox untuk menyambung lariannya setelah sembuh daripada penyakit tersebut tidak kesampaian kerana Fox meninggal dunia sembilan bulan kemudian iaitu pada 28 Jun 1981 di Royal Columbian Hospital, New Westminster, Kanada.
Yayasan Terry Fox kemudian telah ditubuhkan bagi meneruskan legasi Fox melalui penganjuran larian setiap tahun. Yayasan tersebut juga telah mengadakan larian di lebih 50 buah negara dan berjaya meraih lebih RM1.6 bilion untuk mencari penawar kanser.
sumber: Kosmo!
No comments:
Post a Comment