Monday, October 28, 2013

Tan Sri Lee Lam Thye

"Sambutan hari ulang tahun kemerdekaan mempunyai makna yang mendalam dan hanya mereka yang mengerti dan mempunyai rasa cinta kepada tanah air dapat mentafsirkan maksud ulang tahun kemerdekaan ini dengan tepat." - Tan Sri Lee Lam Thye, BH 22 Ogos 2013

Tan Sri Datuk Seri Lee Lam Thye ialah bekas ahli politik dan aktivis sosial warga Malaysia.

Beliau dilahirkan pada 30 Disember 1946 di Ipoh, Perak, Malaysia.

Beliau berkelulusan Sijil Pelajaran Persekutuan Tanah Melayu pada tahun 1962 di Saint Michael's Institution, Ipoh.

Sebelum menyertai arena politik, beliau pernah menjadi guru sekolah dan juga pernah dilantik sebagai pemimpin Kesatuan Sekerja.

Pada tahun 1968, beliau telah dilantik sebagai Setiausaha Eksekutif Kesatuan Kebangsaan Pekerja-Pekerja Perdagangan.

Kerjayanya dalam bidang politik bermula apabila beliau dipilih sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan Bukit Nenas, Selangor untuk penggal 1969 - 1974. Beliau mewakili parti DAP.

Beliau sekali lagi dipilih sabagai ADUN untuk kawasan Serdang bagi penggal 1978 - 1982.

Beliau telah berkhidmat sebagai Ahli Parlimen bagi kawasan Bukit Bintang selama empat penggal iaitu dari tahun 1974 hingga 1990.

Tan Sri Lee Lam Thye pernah menjadi pemimpin Parti Tindakan Demokratik (DAP). Setelah bersara daripada politik pada tahun 1990 beliau lebih menumpukan kepada aktiviti-aktiviti sosial dan kemanusiaan.

Beliau kini adalah Pengerusi Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerja (NIOSH) serta Pengerusi Majlis Latihan Khidmat Negara.

Beliau juga merupakan Naib Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia.

Beliau juga pernah berkhidmat sebagai Ahli Suruhanjaya Diraja Khas untuk meningkatkan operasi dan pengurusan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Beliau juga aktif dalam sektor swasta dan menjadi Pengarah Bukan Eksekutif di Media Prima Berhad, MBM Resources Berhad dan AMDB Berhad.

Sebagai Pengarah Bebas Bukan Eksekutif Media Prima Berhad, beliau merupakan Pengerusi Jawatankuasa Pencalonan, Ahli Jawatankuasa Audit dan Jawatankuasa Imbuhan Media Prima Berhad.

Beliau juga pernah menulis buku yang berjudul As I Was Saying : Viewpoints, Thoughts and Aspirations of Lee Lam Thye.

Pada 23 Disember 2012 Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah menganugerahkan pangkat Assistant Commissioner Police (ACP) Kehormat kepada Tan Sri Lee Lam Thye sebagai menghargai jasa beliau membantu polis membanteras jenayah.

No comments: