Monday, August 12, 2013

Tan Sri Abdullah Ahmad

"Manusia yang tidak cintakan bahasanya atau tidak ada bahasa sendiri, seperti orang yang tidak ada zuriat; sentiasa berasa kesepian." - Tan Sri Abdullah Ahmad

Tan Sri Abdullah Ahmad ialah seorang wartawan, ahli politik, tokoh korporat dan diplomat warga Malaysia.

Beliau dilahirkan pada 4 Julai 1937 di Kampung Bandar, Kok Lanas, Kelantan. Beliau dikenalli dengan gelaran Dollah Kok Lanas.

Tan Sri Abdullah mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Kampung Bandar, Kok Lanas kemudian melanjutkan pelajarannya di Kolej Melayu Kuala Kangsar. Pendidikannya dilanjutkan ke peringkat tinggi iaitu di Universiti Cambridge dan Universiti Harvard. Pada tahun 1990 beliau sepatutnya menamatkan PhD di Universiti Malaya bagaimanapun terbantut apabila dilantik sebagai Duta Khas ke Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Tan Sri Abdullah Ahmad menceburi bidang politik apabila menjadi Ahli Parlimen (MP) Machang pada tahun 1974 - 1978 dan Ahli Parlimen Kok Lanas 1986 - 1990. Beliau pernah menduduki kerusi Majlis Tertinggi UMNO dan pernah menjadi Timbalan Menteri yang pertama di Jabatan Perdana Menteri 1974 - 1976 sewaktu zaman pentadbiran Perdana Menteri Allahyarham Tun Abdul Razak.

Tan Sri Abdullah Ahmad pernah ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) pada tahun 1976 - 1981 atas tuduhan terbabit dengan anasir subversif iaitu Komunis. Turut ditahan bersamanya ialah Tan Sri Abdul Samad Ismail, Datuk Abdullah Majid dan Kassim Ahmad.

Setelah dibebaskan daripada ISA, beliau telah diminta oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad untuk bertanding pada Pilihan Raya Umum 1986 untuk kerusi Parlimen Kok Lanas, Kelantan dan beliau telah memenanginya.

Jawatan terakhir Tan Sri Abdullah Ahmad ialah sebagai Ketua Editor kumpulan The New Straits Times dan Berita Harian. Pada tahun 2003 tempat beliau telah digantikan oleh Datuk Ahmad Abd. Talib dan Kalimullah Masheerul Hassan.

Kini beliau aktif menulis dan menghasilkan karya-karya bukan fiskyen dan berkisarkan tentang politik. Antara buku-buku tulisan beliau seperti On The Record, The Dairy, Dr. Mahathir: Selected Letters to World Leaders dan Berani Tanpa Segan.

No comments: