Sunday, August 11, 2013

Madeleine Albright

"Keganasan bukan satu bentuk perjuangan politik." - Madeleine Albright

Madeleine Korbelová Albright ialah bekas Setiausaha Negara Amerika Syarikat.

Nama asalnya ialah Marie Jana Korbelová dilahirkan pada 15 Mei 1937 di wilayah Smíchov di Prague, Czechoslovakia.

Beliau dan keluarganya berhijrah ke Amerika Syarikat pada tahun 1948 apabila negara Czechoslovakia menjadi sebuah negara komunis.

Beliau menjadi warganegara Amerika Syarikat pada tahun 1957.

Beliau menuntut di Kolej Wellesley di Massachussets dalam bidang sains politik dan menamatkan pelajaran pada tahun 1959.

Sebaik sahaja tamat pengajian, beliau mengahwini teman lelakinya iaitu Joseph Medill Patterson Albright dan dikenali sebagai Madeleine Albright.

Madeleine Albright kemudiannya menjadi wartawan di Chicago Sun-Times juga menjadi editor untuk Encyclopædia Britannica.

Pada tahun 1962, Madeleine bersama suaminya berpindah ke Washington D.C. dan menyambung pengajian di Universiti John Hopkins.

Pada tahun 1963, mereka kembali ke Long Island, New York dan suaminya mengambil alih bidang perniagaan keluarganya. Madeleine Albright pula mengambil jurusan undang-undang di Universiti Columbia.

Setelah memperolehi Master of Arts dan Doktor Falsafah, Madeleine Albright kembali ke Washington D.C. dan menceburi bidang politik.

Pada tahun 1993, Presiden Amerika Syarikat iaitu Bill Clinton telah melantiknya menjadi Duta ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Beliau dilantik menjadi Setiausaha Negara Amerika Syarikat pada tahun 1997 dan menjadi wanita pertama yang menjawat jawatan tersebut juga wanita pertama di Amerika Syarikat yang menjawat jawatan tertinggi di dalam sejarah pentadbiran Amerika Syarikat.

Sepanjang menjawat jawatan Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Madeleine Albright telah terlibat dengan beberapa isu dan kontroversi. Madeleine Albright juga merupakan pegawai tertinggi Amerika Syarikat yang berpeluang bertemu dengan pemerintah komunis Korea Utara iaitu Kim Jong-il.

Madeleine Albright menamatkan perkhidmatannya sebagai Setaiusaha Negara pada 20 Januari 2001 dan tempatnya digantikan oleh Colin Powell. Madeleine Albright terus berkhidmat dalam pelbagai organisasi dan menubuhkan sebuah yayasan iaitu Albright Group yang merupakan sebuah firma konsultasi untuk syarikat-syarikat perdagangan seperti Coca-Cola, Merck, Dubai Ports World dan beberapa syarikat lain.

Madeleine Albright juga pernah diundang untuk berlakon membawakan watak dirinya sendiri di dalam sebuah drama bersiri berjudul Gilmore Girls.

Madeleine Albright juga aktif dalam bidang penulisan dan telah menghasilkan beberapa karya seperti Madam Secretary, sebuah memoir tentang dirinya, The Mighty and the Almighty: Reflections on America, God, and World Affairs, Memo to the President Elect: How We Can Restore America's Reputation and Leadership, Read My Pins dan Prague Winter: A Personal Story of Remembrance and War, 1937-1948.

No comments: