Thursday, July 18, 2013

Tun Hussein Onn

"Tanpa kejujuran yang tulin, seseorang pemimpin akan menggunakan jawatannya sebagai bahan dagangan untuk mencapai kedudukan, mencari pengaruh, nama dan membolot kekayaan. Ia akan menjadikan parti dan perjuangan sebagai topeng untuk memuaskan hawa nafsu. Ia akan mengambil kesempatan daripada sesuatu suasana atau krisis untuk menangguk di air keruh." - Tun Hussein Onn.

Tun Hussein bin Dato' Onn ialah Perdana Menteri Malaysia ke-3.

Beliau dilahirkan pada 12 Februari 1922 di Johor Bahru dan merupakan anak kepada Dato' Onn bin Jaafar iaitu pengasas parti Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu atau UMNO.

Tun Hussein Onn mendapat pendidikan awal di Sekolah Rendah Telok Kurau, Singapura dan melanjutkan pelajarannya di English College ataupun kini dikenali sebagai Maktab Sultan Abu Bakar, Johor Bahru.

Setelah menamatkan persekolahan, Tun Hussein Onn menyertai Pasukan Tentera Johor pada tahun 1940.

Pada tahun 1941 Tun Hussein Onn telah dihantar ke India untuk latihan di Maktab Tentera Sandhurst yang terletak di Dehradun, India. Selepas menamatkan latihan, beliau telah diserapkan dalam Angkatan Tentera India dan ditugaskan ke Timur Tengah sebaik sahaja Perang Dunia Kedua meletus.

Setelah perang tamat, kerajaan British telah melantik beliau menjadi pengajar di Pusat Perekrutan dan Latihan Polis Malaya di Rawalpindi, India.

Tun Hussein Onn kembali ke Tanah Melayu pada tahun 1945 dan dilantik menjadi Komandan di Depot Polis Johor Bahru. Setelah menjawat jawatan Kapten, Tun Hussein Onn bersara daripada pasukan keselamatan dan menyertai pula perkhidmatan awam sebagai Penolong Pegawai Pentadbir di Segamat, Johor. Tun Hussein Onn kemudian ditempatkan pula di Selangor dan menjadi Pegawai Daerah di Klang dan Kuala Selangor.

Tun Hussein Onn mengikuti jejak bapanya menyertai politik apabila turut serta dalam penentangan Malayan Union. Apabila UMNO ditubuhkan, beliau telah menyertainya dan dilantik menjadi Penolong Setiausaha Agung dan kemudiannya sebagai Ketua Pergerakan Pemuda UMNO yang pertama. Waktu itu beliau baru berusia 28 tahun.

Pada tahun 1950, Tun Hussein Onn telah dilantik sebagai Setiausaha Agung UMNO. Beliau juga dilantik menjadi ahli Majlis Mesyuarat Persekutuan dan juga menduduki Majlis Mesyuarat Perundangan Negeri Johor dan Majlis Kerja Negeri Johor.

Bagaimanapun, terdapat krisis antara bapanya dengan parti UMNO yang berkesudahan dengan tindakan bapanya meninggalkan UMNO. Tun Hussein Onn juga menurut jejak langkah bapanya. Bapanya, Dato' Onn Jaafar kemudian menubuhkan sebuah parti yang dikenali sebagai Parti Kemerdekaan Malaya (IMP) dan seterusnya Parti Negara.

Namun, disebabkan oleh sambutan yang agak dingin terhadap Parti Kemerdekaan Malaya, Tun Hussein Onn meninggalkan bidang politik dan melanjutkan pelajaran dalam bidang perundangan di Lincoln's Inn, England dan lulus sebagai Barrister-at-Law pada tahun 1958.

Tun Hussein Onn kembali ke tanahair dan menubuhkan firma guamannya sendiri. Tun Hussein Onn kemudian menemui jodohnya iaitu Toh Puan Suhaila binti Tan Sri Mohammad Noah dan mereka mendirikan rumahtangga dan dikurniakan enam orang anak.

Tun Abdul Razak yang merupakan biras Tun Hussein Onn telah menjemputnya kembali ke arena politik. Pada tahun 1969, Tun Hussein Onn telah dilantik sebagai Ahli Jawatankuasa Kerja UMNO (kini dikenali sebagai Majlis Tertinggi UMNO) dan menjadi calon untuk Parti Perikatan bagi kawasan Parlimen Johor Bahru Timur. Tun Hussein Onn memenangi kerusi Parlimen tersebut dengan mudah dalam Pilihan Raya Umum 1969.

Selepas kemenangannya dalam Pilihan Raya Umum 1969, Tun Hussein Onn telah memegang jawatan Menteri Pelajaran. Apabila Timbalan Perdana Menteri, Tun Dr. Ismail pada 2 Ogos 1973, Tun Hussein Onn telah menjadi pengganti Allahyarham sebagai Timbalan Perdana Menteri.

Apabila Tun Abdul Razak yang menjadi Perdana Menteri Malaysia meninggal dunia pada 14 Januari 1976, Tun Hussein Onn telah dilantik sebagai Perdana Menteri pada 15 Januari 1976.

Tun Hussein Onn hanya menjadi Perdana Menteri Malaysia selama lima tahun kerana terpaksa melepaskan jawatannya pada 15 Mei 1981 atas faktor kesihatan. Tempat beliau kemudian digantikan oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad pada 18 Julai 1981.

Setelah bersara, Tun Hussein Onn menumpukan perhatiannya pada kerja-kerja amal dan pernah dilantik sebagai penasihat Petronas. Tun Hussein Onn juga menjadi Pengerusi Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa (ISIS) juga antara penyumbang kepada Hospital Mata Tun Hussein Onn.

Tun Hussein Onn meninggal dunia pada 29 Mei 1990 di Pusat Perubatan Seaton, San Francisco, Amerika Syarikat akibat sakit jantung. Beliau meninggal ketika berusia 68 tahun.

Anaknya pula menjejaki langkahnya menceburkan diri dalam bidang politik iaitu Dato' Seri Panglima Hishamuddin Hussein yang memegang jawatan Menteri Pertahanan pada tahun 2013.



No comments: