Wednesday, July 17, 2013

Tun Abdul Razak Hussein

"Kita juga telah berjaya memberikan satu keperibadian yang sama kepada negara dengan menjadikan bahasa Malaysia sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi yang tunggal di negara ini dan usaha-usaha masih lagi dicari bagi menjadikan bahasa itu sebagai bahasa kebangsaan dengan erti kata yang sebenarnya." - Tun Abdul Razak Hussein

Tun Abdul Razak bin Hussein ialah Perdana Menteri Malaysia yang kedua.

Beliau dilahirkan di Pulau Keladi, Pekan, Pahang pada 11 Mac 1922.

Tun Abdul Razak mendapat pendidikan di Kolej Melayu Kuala Kangsar.

Pada tahun 1939, beliau berkhidmat dalam Perkhidmatan Pentadbiran Tanah Melayu. Beliau kemudian ditawarkan biasiswa untuk melanjutkan pelajaran di Raffles College, Singapura pada tahun 1940.

Pengajiannya terhenti apabila Perang Dunia Kedua meletus dan pendudukan Jepun di Tanah Melayu. Tun Abdul Razak antara salah seorang yang terlibat dalam penubuhan tentera Wataniah di Pahang.

Setelah perang tamat, Tun Abdul Razak melanjutkan pelajaran ke Britain dalam bidang perundangan. Beliau menerima Ijazah Undang-Undang daripada Lincoln's Inn pada tahun 1950.

Setelah kembali ke Tanah Melayu, Tun Abdul Razak berkhidmat dalam Perkhidmatan Awam dan menyertai politik. Beliau telah dilantik menjadi ketua Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO).

Setelah memenangi Pilihan Raya Umum yang pertama pada tahun 1955, Tun Abdul Razak telah dilantik menjadi Menteri Pelajaran.

Tunku Abdul Razak juga antara yang menyertai rombongan Tunku Abdul Rahman ke London untuk menuntut kemerdekaan Tanah Melayu atau Malaya daripada pihak British pada tahun 1956.

Selepas Pilihan Raya Umum 1959, Tun Abdul Razak telah memegang jawatan Menteri Pembangunan Luar Bandar juga portfolio Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan.

Pada 13 Mei 1969, telah berlaku perselisihan dan rusuhan antara kaum di Kuala Lumpur. Keadaan darurat telah diisytiharkan dan sebuah badan dikenali sebagai Majlis Gerakan Negara (MAGERAN) telah ditubuhkan di mana Tun Abdul Razak telah dilantik menjadi ketua.

Selepas peristiwa berdarah 13 Mei 1969, berlaku pergolakan dalam parti UMNO dan Tunku Abdul Rahman terpaksa melepaskan jawatannya sebagai Perdana Menteri. Tun Abdul Razak menggantikan Tunku sebagai Perdana Menteri Malaysia pada 22 September 1970.

Tun Abdul Razak telah melancarkan Dasar Ekonomi Baru iaitu satu program sosioekonomi yang bertujuan untuk mencapai perpaduan negara dan integrasi nasional pada tahun 1971.

Pada tahun 1973, Tun Abdul Razak telah menukar Parti Perikatan menjadi Barisan Nasional dan menambah lagi keanggotaan parti untuk mengasaskan apa yang disifatkannya sebagai 'Ketahanan Nasional' melalui kestabilan politik. Keanggotaan Barisan Nasional pada waktu itu termasuklah Parti Islam Se-Malaysia (PAS).

Pada 14 Januari 1976 Tun Abdul Razak Hussein telah meninggal dunia di London akibat penyakit leukimia yang dihidapinya. Beliau meninggal dunia ketika berusia 54 tahun.

No comments: