Monday, June 17, 2013

Abraham Lincoln

"Sesekali, anda boleh memperbodohkan semua orang atau sesetengah orang sepanjang masa, tetapi anda tidak boleh memperbodohkan semua orang setiap masa." - Abraham Lincoln

Abraham Lincoln ialah Presiden Amerika Syarikat yang ke-16.

Beliau dilahirkan di Kentucky, Amerika Syarikat pada 12 Februari 1809.

Ayahnya Thomas Lincoln merupakan seorang tukang kayu. Abraham Lincoln kehilangan ibunya sejak usia muda, namun ayahnya telah berkahwin lagi dan Abraham Lincoln sangat menyayangi ibu tirinya.

Apabila remaja Abraham Lincoln menjadi seorang pemuda yang tinggi dan tegap. Bagaimanapun pakaiannya selalu berpadanan dengan tubuhnya. Baju dan seluarnya agak singkat dan kelihatan seperti tergantung. Tiada siapa menyangka bahawa seorang pemuda yang berpakaian selekeh dan singkat akan menjadi seorang pemimpin yang berpengaruh suatu hari nanti.

Pertama kali Abraham Lincoln menyaksikan perhambaan adalah sewaktu beliau ke New Orleans pada tahun 1828 atas urusan pekerjaan. Apabila beliau mengunjungi bandar itu untuk kali yang kedua beliau berjanji kepada dirinya untuk menghapuskan sistem perhambaan di Amerika Syarikat.

Abraham Lincoln tidak mendapat pendidikan secara formal, tetapi beliau rajin belajar membaca dan menulis hingga akhirnya beliau berjaya menjadi seorang peguam.

Pada permulaan kariernya, Abraham Lincoln dilantik menjadi Ahli Parlimen untuk daerah Illinois pada tahun 1834 dan dipilih untuk kali kedua dan kali ketiga pada tahun 1838 dan 1840.

Pada tahun 1842 Abraham Lincoln telah membuka sebuah firma perundangan bersama seorang sahabatnya iaitu William H. Herndon. Persahabatan mereka bertahan sehingga ke akhir hayat Lincoln. Herndon juga adalah penulis biografi Lincoln setelah Lincoln meninggal dunia.

Pada tahun 1846 Abraham Lincoln telah terpilih untuk menjadi anggota Kongres. Bagaimanapun, keanggotaannya tidak lama apabila beliau mengusulkan undang-undang untuk menghapuskan perhambaan di wilayah Columbia (District of Columbia).

Disebabkan kecewa, Abraham Lincoln kembali menguruskan firma perundangannya. Beliau menghentikan aktiviti politiknya buat sementara waktu bagaimanapun beliau telah dikenali umum sebagai seorang peguam yang jujur.

Pada tahun 1854, Abraham Lincoln kembali ke dunia politik dan memperjuangkan isu perhambaan. Bagaimanapun, Lincoln terpaksa bersaing dengan Stephen Douglas yang cuba untuk mengalahkan pihak Selatan Amerika Syarikat yang menyokong perhambaan sementara pihak Utara menentangnya. Abraham Lincoln tidak menyangka bahawa separuh daripada warga Amerika Syarikat mempertahankan isu perhambaan.

Abraham Lincoln telah tewas pada pusingan pertama menentang Stephen Douglas untuk merebut Kerusi Senat Amerika Syarikat. Namun, pada tahun 1860, Abraham Lincoln telah menjadi calon Presiden untuk Parti Republican.

Sementara itu, Parti Democrat menyerang dan mencela Lincoln habis-habisan. Namun akhirnya, Abraham Lincoln telah terpilih sebagai Presiden Amerika Syarikat. Empat hari setelah beliau dipilih sebagai Presiden, negeri-negeri di wilayah Selatan telah bertindak keluar daripada Kesatuan Amerika Syarikat.

Negeri-negeri tersebut kemudiannya membentuk konfederasi mereka sendiri. Abraham Lincoln merasa sedih akan perpecahan tersebut dan berusaha untuk memperbaikinya. Bagaimanapun, konflik antara pihak Utara dan Selatan semakin memuncak sehingga akhirnya Perang Saudara Amerika meletus. Pada 12 April 1861, pihak Selatan telah menyerang Fort Sunter.

Pada bulan November 1863 dalam pertempuran di Gettysburg, Abraham Lincoln telah menyampaikan ucapan yang telah menjadi sejarah. Ucapan tersebut berbunyi:

"Lahirnya sebuah negara baru, yang diasaskan pada kebebasan yang berpegang pada pengiktirafan bahawa semua manusia adalah sama."

Ucapan Lincoln di Gettysburg ini telah menegaskan akan dua prinsip iaitu kebebasan dan kesaksamaan di mana kedua-dua prinsip ini menjadi asas kepada pentadbiran Amerika Syarikat.

Pada 14 April 1865, Presiden Abraham Lincoln telah ditembak secara dekat sewaktu menonton teater bersama isterinya di Ford's Theater, Washington D.C. Beliau telah ditembak oleh John Wilkes Booth, seorang pelakon yang juga seorang penyokong konfederasi Selatan.

Abraham Lincoln meninggal dunia pada 15 April 1865 sewaktu berusia 58 tahun dan menjadi Presiden Amerika Syarikat yang pertama meninggal dunia akibat dibunuh. Andrew Johnson kemudiannya menggantikan beliau sebagai Presiden Amerika Syarikat yang ke-17.

No comments: