Tuesday, May 14, 2013

Sayyed Qutb

"Umat Islam adalah umat yang adil dalam segala erti keadilan sama ada keadilan dengan erti kebaikan dan kelebihan atau keadilan dengan erti kesederhanaan atau dengan ertinya yang fizikal, iaitu berada di tengah-tengah." - Sayyed Qutb

Sayyed Qutb ialah seorang penulis, pendidik, teoris Islam dan penyair warga Mesir.

Beliau dilahirkan pada 9 Oktober 1906 di Mūshā, Mesir.

Beliau mula menghafal al-Quran ketika berusia 10 tahun. Minatnya dalam bidang pengajian Islam dan al-Quran begitu mendalam dan beliau melanjutkan pelajarannya di Kuliah Darul 'Ulum.

Setelah tamat pengajian beliau menceburkan diri dalam bidang pendidikan dan berkhidmat di Kementerian Pelajaran di Kaherah.

Pada tahun 1948 beliau telah dihantar ke Amerika Syarikat. Seaktu berada di sana beliau telah memerhatikan dan mengkaji peradaban serta kehidupan rakyat Amerika. Beliau telah mencatatkan pemerhatiannya yang akhirnya dinukilkan di dalam karya-karyanya.

Setelah beliau kembali ke Mesir, beliau telah menyertai gerakan Ikhwanul Muslimin setelah kematian pengasasnya iaitu Hassan al-Banna yang mati ditembak pada 12 Februari 1949. Sayyed Qutb mula berminat dengan Ikwanul Muslimin sewaktu berada di Amerika Syarikat apabila mendapati pihak pentadbiran Amerika Syarikat begitu gembira dengan kematian Hassan al-Banna yang didakwa mereka sebagai terrorist ataupun pengganas.

Setelah menyertai Ikhwanul Muslimin, Sayyed Qutb telah aktif menulis karya-karya berbentuk dakwah dan Islamiah. Sayyed Qutb juga lantang mengkritik pentadbiran Presiden Jamal Abdul Nasir yang mentadbir Mesir pada waktu itu sebagai seorang Presiden yang zalim dan menindas rakyat Mesir. Akibatnya Sayyed Qutb telah dipenjarakan dan diseksa dengan kejam.

Karyanya yang ditulis sewaktu di dalam penjara ialah Fi Zilal al-Qur'an (In The Shade of Quran).

Pada 29 Ogos 1966, Sayyed Qutb telah menjalani hukuman gantung sampai mati setelah didapati bersalah oleh mahkamah tentera yang ditubuhkan oleh kerajaan revolusi Mesir.

No comments: