"Hanya lidah yang mahu berdusta dan berbohong, namun pandangan mata, hayunan kedua belah tangan, langkah kedua belah kaki dan pergerakan tubuh atau seluruh anggota badan akan menafikan apa yang diucapkan oleh lidah." - Saidina Ali bin Abi Talib
Saidina Ali bin Abi Talib ialah sepupu dan juga menantu kepada Nabi Muhammad SAW.
Beliau dilahirkan 10 tahun sebelum Nabi Muhammad SAW diangkat menjadi Rasul pada 601 Masihi.
Saidina Ali bin Abi Talib telah memeluk Islam sejak kanak-kanak lagi iaitu ketika berusia 10 tahun dan boleh dikatakan sebagai kanak-kanak pertama yang memeluk Islam.
Saidina Ali terkenal dengan gelaran Karramallahu Wajhah yang bermaksud Allah SWT memuliakan wajahnya kerana tidak pernah menyembah berhala.
Saidina Ali juga disifatkan sebagai seorang yang berani dan gagah perkasa dan telah menyertai hampir semua peperangan menentang kaum Musyrikin kecuali peperangan Tabuk.
Beliau telah berjaya menewaskan pahlawan Quraisy bernama Amru bin Wahid yang dikatakan lebih berpengalaman sewaktu peperangan Khandak.
Pedang yang digunakan oleh Saidina Ali bernama Zulfiqar yang mana sebelum itu ia dimiliki oleh Rasulullah SAW.
Saidina Ali juga terkenal sebagai seorang cendikiawan yang memiliki pengetahuan dalam pelbagai bidang seperti kesusasteraan, matematik dan kehakiman.
Saidina Ali telah menjadi jurutulis untuk Perjanjian Hudaibiyah, mengetuai misi dakwah ke Iraq dan sebagai penulis wahyu yang diterima oleh Rasulullah.
Saidina Ali dilantik menjadi Khalifah pada tahun 35 Hijrah (655 Masihi) dan merupakan Khalifah ke-4 daripada Khalifah Ar-Rasyidin. Bagaimanapun, Saidina Ali menerima perlantikan sebagai Khalifah di dalam keadaan huru-hara iaitu sewaktu beberapa komplot yang dilakukan oleh Abdullah bin Saba' yang bertujuan untuk menggagalkan setiap usaha perdamaian yang dilakukan oleh Saidina Ali.
Sebagai seorang Khalifah, Saidina Ali telah menubuhkan pasukan polis yang diberi nama As-Syurtah dan pasukan tentera berjalan kaki. Saidina Ali juga menubuhkan badan perisik yang belum pernah ditubuhkan oleh Khalifah sebelumnya.
Saidina Ali bin Abi Talib wafat (meninggal dunia) pada 17 Ramadan 41 Hijrah (661 Masihi) akibat dibunuh oleh Abdul Rahman bin Muljim di masjid Kufah, Iraq.
Tempat beliau sebagai Khalifah digantikan oleh anaknya Saidina Hassan bin Ali sebagai Khalifah ke-5 Ar-Rasyidin.
No comments:
Post a Comment