Monday, January 21, 2013

John F. Kennedy

"Kesopanan bukan satu tanda kelemahan, dan keikhlasan adalah perkara yang sentiasa perlu dibuktikan." - John F. Kennedy

John F. Kennedy ialah Presiden Amerika Syarikat yang ke-35.

Nama penuhnya John Fitzgerald 'Jack' Kennedy dilahirkan di Brookline, Massachusetts, Amerika Syarikat pada 29 Mei 1917.

Ayahnya, Joseph Patrick Kennedy ialah seorang ahli perniagaan dan usahawan berjaya di Amerika Syarikat.

John F. Kennedy atau dikenali juga sebagai JFK pernah berkhidmat dengan tentera Amerika Syarikat dan menjadi Leftenan Tentera Laut Amerika Syarikat dan sebagai Komander untuk angkatan Bot Torpedo Motor PT-109 dan PT-59 sewaktu Perang Dunia Kedua.

JFK telah dianugerahkan pingat Navy and Marine Corps dan Purple Heart atas keberaniannya sewaktu berkhidmat dalam perkhidmatan tentera Amerika Syarikat.

Setelah perang tamat, JFK kembali ke Amerika Syarikat dan menyertai parti Democrat. Beliau mewakili Massachusetts sebagai anggota Dewan Perwakilan dan Senat Amerika Syarikat.

Beliau dilantik sebagai Presiden Amerika Syarikat setelah memenangi Pilihanraya Presiden Amerika Syarikat 1960 menewaskan pencabarnya Richard Nixon.

Sepanjang perkhidmatannya sebagai Presiden, beliau telah menubuhkan Peace Corps, Jawatankuasa Peluang Pekerjaan Sama Rata (Committee on Equal Employment Opportunity), terlibat dalam krisis Peluru Berpandu Cuba setelah operasi penaklukan Bay of Pigs 1961 yang dilancarkan olehnya gagal dan menandatangani perjanjian Pengharaman Ujian Nuklear 1963.

John F. Kennedy telah dibunuh pada 22 November 1963 sewaktu lawatannya ke Dallas, Texas. Seorang lelaki bernama Lee Harvey Oswald telah ditangkap dan didakwa membunuh Presiden Kennedy bagaimanapun dia telah dibunuh oleh Jack Ruby dua hari kemudian sebelum hari pembicaraan.

Lyndon B. Johnson telah dilantik menjadi Presiden Amerika Syarikat menggantikan John F. Kennedy.

No comments: