Tuesday, November 20, 2012

Tun Dr. Mahathir Mohamad

"Ramai orang yang boleh memiliki jam tangan yang tinggi harganya tetapi tidak ramai boleh menetapi masa yang berharga." - Tun Dr. Mahathir Mohamad

Tun Dr. Mahathir Mohamad ialah Perdana Menteri Malaysia yang keempat.

Beliau dilahirkan di Alor Setar, Kedah, Malaysia pada 20 Disember 1925.

Beliau memegang jawatan sebagai Perdana Menteri Malaysia selama 22 tahun bermula pada 16 Julai 1981 sehingga 31 Oktober 2003.

Tun Dr. Mahathir merupakan seorang pelajar yang cemerlang sewaktu zaman persekolahannya dan melanjutkan pelajaran dalam bidang kedoktoran. Beliau membuka klinik perubatannya di Alor Setar pada tahun 1957.

Beliau mula aktif dalam kegiatan politik sejak tahun 1945 dan menyertai parti United Malays National Organisation (UMNO) pada tahun 1946.

Beliau menjadi Ahli Parlimen setelah memenangi Pilihanraya Umum 1964 bagaimanapun kehilangan kerusi pada Pilihanraya Umum 1969.

Pada tahun 1976, beliau telah dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri dan dilantik sebagai Perdana Menteri Malaysia pada 16 Julai 1981 menggantikan Perdana Menteri Malaysia ketiga, Allahyarham Tun Hussein Onn.

Sewaktu Tun Dr. Mahathir menjadi Perdana Menteri, Malaysia telah mengalami pemodenan dan pertumbuhan ekonomi yang pesat dan kerajaan di bawah pentadbirannya memulakan siri projek-projek infrastruktur untuk pembangunan negara.

Beliau merupakan tokoh politik yang dominan, memenangi lima Pilihanraya Umum berturut-turut dan berjaya mempertahankan kedudukannya sebagai Presiden UMNO untuk jangkamasa yang agak lama.

Bagaimanapun, di akhir-akhir zaman pentadbirannya, beliau terpaksa berhadapan dengan beberapa krisis seperti penamatan kuasa veto dan imuniti institusi beraja serta pemecatan Timbalannya iaitu Datuk Seri Anwar Ibrahim atas dakwaan salah laku seksual dan penyalahgunaan kuasa.

Tun Dr. Mahathir Mohamad bersara sebagai Perdana Menteri Malaysia dan digantikan oleh Tun Abdullah bin Haji Ahmad Badawi sebagai Perdana Menteri Malaysia kelima.

No comments: