Monday, September 3, 2012

Neil Armstrong


"Langkah kecil ini merupakan langkah besar buat manusia sejagat." - Neil Armstrong

Neil Armstrong dilahirkan pada 5 Ogos 1930 di Wapakoneta, Ohio, Amerika Syarikat.

Neil Armstrong begitu meminati kapal terbang sejak kecil dan mengambil kelas penerbangan ketika berusia 15 tahun. Beliau kemudian memperolehi lesen juruterbangnya ketika berusia 16 tahun.

Neil Armstrong menyertai Tentera Laut Amerika Syarikat dan menjadi juruterbang tentera laut. Beliau telah menyertai 78 misi penerbangan dalam Perang Korea.

Beliau kemudian belajar Kejuruteraan Aeronautik di Universiti Purdue sebelum memperolehi Ijazah Sarjana Sains di Universiti California Selatan.

Neil Armstrong memiliki sarjana Sains Kejuruteraan Aeroangkasa dari Universiti California Selatan dan anugerah kedoktoran daripada beberapa buah universiti.

Selepas berkhidmat sebagai juruterbang Tentera Laut Amerika Syarikat dari 1949 hingga 1952, Neil Armstrong menyertai agensi angkasa lepas Amerika Syarikat yang ketika itu dikenali sebagai Jawatankuasa Penasihat Nasional Bagi Aeronautik (NACA) pada tahun 1955.

Beliau berkhidmat sebagai jurutera, juruterbang ujian, angkasawan dan pentadbir untuk NASA dan kemudian dikenali sebagai NASA sepanjang tempoh 17 tahun.

Sebagai juruterbang penyelidikan untuk Pusat Penyelidikan Penerbangan NASA di California beliau menerbangkan banyak pesawat perintis berkelajuan tinggi Amerika Syarikat.

Neil Armstrong pernah berkhidmat selama tujuh tahun di Pangkalan Tentera Udara Edwards, California sebagai juruterbang pandu uji.

Neil Armstrong mendapat status angkasawan pada 1962 dan menerajui misi Gemini 8 untuk berlabuh di angkasa lepas sebelum diberikan kepercayaan untuk mengetuai pengembaraan manusia ke bulan.

Beliau dilantik menjadi komander kapal angkasa Apollo 11 dan juga manusia pertama menjejakkan kaki ke bulan pada 20 Julai 1969.

Selain beliau, misi ke bulan itu turut disertai oleh Edwin Aldrin dan Michael Collins.

Ketika itu Neil Armstrong berusia 38 tahun.

Bagaimanapun, beliau agak kecewa dengan pencapaiannya sebagai manusia pertama yang menjejakkan kaki ke bulan. Dalam satu wawancara di televisyen, beliau pernah berharap agar seseorang yang pergi ke bulan dapat membersihkan kesan tapak kakinya di bulan.

Neil Armstrong juga menyifatkan bahawa misi ke bulan itu adalah misi yang pertama dan terakhir bagi dirinya.

Neil Armstrong menerima Pingat Kebebasan Presiden pada tahun 1969. Ia merupakan anugerah tertinggi diberikan kepada warga Amerika Syarikat.

Neil Armstrong kemudian dilantik sebagai pentadbir bahagian aeronautik di Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan Amerika Syarikat (NASA) pada tahun 1970 tetapi meninggalkan agensi berkenaan pada tahun berikutnya untuk mengajar kejuruteraan aeroangkasa di Universiti Cincinnati, Amerika Syarikat.

Beliau kekal di pusat pengajian tinggi berkenaan hingga tahun 1979 sebelum bersara untuk menjadi seorang petani dan penternak.

Sepanjang tempoh tersebut, Neil Armstrong memencilkan diri dan hanya bersetuju menerima beberapa undangan temu ramah atau syarahan.

Beliau tinggal di sebuah kawasan di Cincinnati bersama isterinya, Carol.

Pada tahun 2010 beliau telah membuat kemunculan awam bagi menentang pelan pentadbiran Presiden Obama yang membeli kapal dari negara luar bagi membawa angkasawan-angkasawan Amerika Syarikat pergi dan pulang dari Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS).

Neil Armstrong juga memperjuangkan penghantaran manusia ke bulan sekali lagi bagi tujuan eksplorasi akan datang biarpun NASA menyatakan ia bukan lagi satu keutamaan.

Neil Armstrong meninggal dunia pada 25 Ogos 2012, 20 hari selepas ulangtahun kelahirannya yang ke-82. Beliau meninggal dunia akibat komplikasi daripada pembedahan pintasan jantung.

sumber: Kosmo!



No comments: