Sunday, March 16, 2014

Khairy Jamaluddin Abu Bakar

"Apa yang penting adalah semangat demokrasi mesti kita hormati tetapi pada masa sama prinsip perpaduan itu juga kena jaga." - Khairy Jamaluddin Abu Bakar*.

Khairy Jamaluddin Abu Bakar ialah seorang ahli politik warga Malaysia.

Beliau dilahirkan pada 10 Januari 1976 di Kuwait City, Kuwait.

Beliau merupakan anak kepada diplomat Malaysia iaitu Dato' Jamaluddin Abu Bakar.

Khairy mendapat pendidikan peringkat menengah di United World College of South East Asia di Singapura dan kemudian melanjutkan pelajarannya di Universiti Oxford dan University College London di United Kingdom.

Sewaktu di Oxford, beliau telah menerima Ijazah Sarjana Muda dalam bidang Falsafah, Politik dan Ekonomi. Pada tahun 1998, beliau menerima Ijazah Sarjana untuk Teori Undang-Undang dan Politik di University College London.

Setelah menamatkan pengajian, beliau telah menjadi seorang wartawan dan pernah menjadi pengacara untuk program televisyen Dateline Malaysia.

Beliau juga pernah menjadi wartawan untuk majalah The Economist pada tahun 1999.

Khairy Jamaluddin juga pernah menjadi Pegawai Khas di pejabat Tun Abdullah Ahmad Badawi sewaktu Tun Abdullah Ahmad Badawi menjadi Timbalan Perdana Menteri Malaysia.

Beliau juga menjadi Timbalan Setiausaha Sulit Tun Abdullah Ahmad Badawi daripada tahun 2003 hingga 2004.

Khairy Jamaluddin mengahwini Nori Abdullah pada bulan Oktober 2001. Nori Abdullah merupakan anak perempuan kepada Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Sejak tahun 2008, Khairy Jamaluddin telah menjadi ahli Parlimen Malaysia mewakili kawasan Rembau, Negeri Sembilan.

Beliau juga merupakan Pengerusi Pemuda Barisan Nasional dan Ketua Pemuda UMNO.

Selepas berjaya mengekalkan kerusi Parlimen di Rembau dalam Pilihan Raya Umum 2013, beliau telah dilantik sebagai Menteri Belia dan Sukan.

Di peringkat akar umbi UMNO, beliau telah memegang jawatan Timbalan Pengerusi di bahagian Rembau setelah menang tanpa bertanding dalam pemilihan parti 2013.


*Utusan Malaysia

No comments: