"Kita akan mengenali seseorang itu daripada teman-temannya." - Thomas Aldrich
Thomas Aldrich ialah seorang penyair, penulis novel, pengembara dan pengarang warga Amerika Syarikat.
Nama penuhnya Thomas Bailey Aldrich dilahirkan pada 11 November 1836 di Portsmouth, New Hampshire, New Hampshire, Amerika Syarikat.
Ketika berusia 16 tahun, Aldrich telah mengikuti perniagaan ayah saudaranya di New York pada tahun 1852.
Di sini beliau telah mula menulis dan menjadi penyumbang tetap kepada akhbar dan majalah.
Aldrich mula berkawan dengan penyair muda, artis dan cendikiawan metropolitan yang terdapat di situ. Antaranya seperti Edmund Clarence Stedman, Richard Henry Stoddard, Fitz Hugh Ludlow, Bayard Taylor dan Walt Whitman.
Dari tahun 1856 hingga 1859, Aldrich menjadi kakitangan Home Journal di mana editornya ialah Nathaniel Parker Willis.
Pada tahun 1865, Aldrich kembali ke New England dan menjadi editor di Boston selama sepuluh tahun untuk Ticknor and Fields. Penerbitan tersebut dihentikan pada tahun 1875.
Dari tahun 1881 hingga 1890, Aldrich menjadi editor Atlantic Monthly.
Bakat Aldirch dalam penulisan adalah pelbagai. Beliau terkenal dengan penulisannya dalam bentuk puisi.
Karya-karyanya yang terkenal seperti The Ballad of Babie Bell (1856), Pampinea and Other Poems (1861), Cloth of Gold (1874), Flower and Thorn (1876), Friar Jerome's Beautiful Book (1881), Mercedes and Later Lyrics (1883), Wyndham Towers (1889) dan edisi yang dikumpul sejak tahun 1865, 1882, 1897 dan 1900 yang menunjukkan kemahirannya menulis dan menyentuh hati pembacanya.
Para pengkritik menyifatkan tulisan Thomas Aldrich banyak dipengaruhi oleh gaya penulisan Robert Herrick.
Tulisan Aldrich yang berbentuk naratif atau puisi dramatik agak kurang menyerlah.
Karyanya yang terbaik adalah seperti Hesperides, When the Sultan goes to Ispahan, Before the Rain, Nameless Pain, The Tragedy, Seadrift, Tiger Lilies, The One White Rose, Palabras, Cariñosas, Destiny dan juga puisinya yang mempunyai lapan bait iaitu Identity.
Bermula dengan koleksi cerita berjudul Marjorie Daw and Other People (1873), Aldrich telah menulis karya-karya berbentuk realisme dan jenaka ringan.
Novel-novelnya yang berjudul Prudence Palfrey (1874), The Queen of Sheba (1877) dan The Stillwater Tragedy (1880) mempunyai lebih aksi dramatik.
Thomas Aldrich meninggal dunia pada 19 Mac 1907 di Boston, Amerika Syarikat. Kata-lata terakhirnya ialah "In spite of it all, I am going to sleep; put out the lights." (Di sebalik itu semua, saya hendak tidur; sila padamkan lampu).
No comments:
Post a Comment