"Sesungguhnya, segala kejayaan yang dicapai hari ini ditunjangi oleh usaha dan pengorbanan pejuang-pejuang kita yang terdahulu. Tunku Abdul Rahman telah berjuang bagi mencapai kemerdekaan, Tun Abdul Razak berusaha gigih bagi membawa pembangunan, Tun Hussein Onn memerah keringat bagi memupuk perpaduan rakyat dan Tun Dr. Mahathir telah menentang arus bagi mencipta pemodenan. Mereka sebagai pemimpin kita bersama rakyat sekalian telah membawa Malaysia ke tahap ia berada hari ini." - Tun Abdullah Ahmad Badawi
Tun Abdullah bin Haji Ahmad Badawi ialah Perdana Menteri Malaysia ke-5.
Tun Abdullah atau dikenali juga sebagai Pak Lah dilahirkan pada 26 November 1939 di Bayan Lepas, Pulau Pinang, Malaysia.
Datuknya bernama Syeikh Abdullah Badawi Fahim merupakan seorang ulama terkenal dan pernah menyertai parti Hizbul Muslimin.
Tun Abdullah ialah bekas pelajar Bukit Mertajam High School, Pulau Pinang dan Penang Methodist Boy's School.
Beliau memperoleh Ijazah Sarjana Muda Sastera dalam Pengajian Islam daripada Universiti Malaya pada tahun 1964.
Tun Abdullah kemudiannya menyertai sektor perkhidmatan awam dan menjadi Penolong Setiausaha di Jabatan Perkhidmatan Awam.
Tun Abduulah melibatkan diri dalam bidang politik setelah menyertai Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) pada tahun 1964.
Tun Abdullah antara yang terlibat dengan Majlis Gerakan Negara (MAGERAN) yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri Malaysia ke-2 iaitu Allahyarham Tun Abdul Razak.
MAGERAN ialah sebuah badan eksekutif yang ditubuhkan untuk mentadbir negara sewaktu negara berada dalam keadaan darurat akibat rusuhan kaum yang berlaku pada 13 Mei 1969.
Pada tahun 1974 Tun Abdullah dilantik menjadi Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan.
Pada tahun 1978 Tun Abdullah dipilih menjadi Ahli Parlimen Kepala Batas dan mengekalkan kerusi parlimen tersebut sehingga kini.
Tun Abdullah dilantik menjadi Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Hal-Ehwal Dalam Negeri pada Januari 1999 selepas Timbalan Perdana Menteri sebelumnya iaitu Datuk Seri Anwar Ibrahim dipecat.
Beliau kemudiannya memegang jawatan Perdana Menteri Malaysia pada 31 Oktober 2003 menggantikan Tun Dr. Mahathir Mohamad yang melepaskan jawatannya sebagai Perdana Menteri.
Parti Barisan Nasional telah mencatat kemenangan gemilang pada Pilihan Raya Umum 2004 di bawah pimpinan Tun Abdullah dengan pencapaian 198 daripada 220 kerusi di Parlimen.
Bagaimanapun pada Pilihan Raya Umum 2008 Barisan Nasional telah gagal mempertahankan majoriti 2/3 kerusi Parlimen dan hanya mendapat majoriti mudah untuk membentuk kerajaan.
Ini adalah kerana ramai yang tidak berpuas hati dengan pentadbiran Tun Abdullah terutama sekali mantan Perdana Menteri iaitu Tun Dr. Mahathir Mohamad yang merasakan bahawa Tun Abdullah perlu meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri Malaysia atas kegagalan Barisan Nasional di dalam Pilihan Raya Umum 2008.
Akhirnya Tun Abdullah melepaskan jawatannya pada 3 April 2009 dan tempat beliau diganti oleh Datuk Seri Mohd Najib bin Abdul Razak sebagai Perdana Menteri ke-6.
No comments:
Post a Comment