Sunday, April 14, 2013

R.M. Hare

"Bagi Adam, taman firdaus adalah rumahnya, bagi keturunannya, rumah tangga adalah taman firdausnya." - R.M. Hare

R.M. Hare ialah seorang ahli falsafah moral Inggeris yang pernah menjawat jawatan Profesor Falsafah Moral White (White's Professor of Moral Philosophy) di Universiti Oxford sejak tahun 1966 hingga 1983.

Nama penuhnya Richard Mervyn Hare dilahirkan pada 21 Mac 1919 di Backwell, Somerset, England.

Beliau menuntut di Rugby School yang terletak di Rugby, Warwickshire, England dan kemudian melanjutkan pelajaran di Balliol College, Oxford pada tahun 1937. Sewaktu di Balliol College beliau telah mengambil jurusan sastera klasik Latin dan Greek lama (Literae Humaniores).

R.M. Hare kemudiannya menyertai tentera dan pernah menjadi tawanan perang sewaktu berada di Singapura pada tahun 1942 sehingga tamat Perang Dunia Kedua. Pengalaman sebagai tawanan perang telah memberi kesan kepada diri Hare yang menyebabkan beliau berpendapat adalah satu kewajipan untuk membantu menyelamatkan nyawa manusia dari segi moral.

Setelah perang tamat beliau kembali ke Oxford dan pada tahun 1947 beliau telah mengahwini Catherine Verney dan dikurniakan seorang lelaki dan tiga orang anak perempuan. Anak lelakinya iaitu John E. Hare juga seorang profesor falsafah di Universiti Yale, Amerika Syarikat. R.M. Hare juga pernah menjadi pensyarah untuk beberapa tahun di Universiti Florida, Amerika Syarikat.

R.M. Hare dikenali untuk teori-teorinya berkaitan meta-etika. Beliau yakin bahawa ciri-ciri formal wacana moral boleh digunakan untuk menunjukkan bahawa alasan moral yang betul akan mendahului kebanyakan agen untuk membentuk suatu pilihan utilitarianisme.

Ramai di antara pelajar-pelajar beliau yang menjadi ahli falsafah terkenal antaranya seperti Brian McGuiness, Bernard Williams dan juga Peter Singer. R.M. Hare sendiri terpengaruh dengan tokoh-tokoh falsafah lain seperti A.J. Ayer, Charles L. Stevenson, J.L. Austin, Ludwig Wittgenstein dan Immanuel Kant.

R.M. Hare juga telah menghasilkan beberapa karya yang berkisar tentang falsafah moral dan utilitarianisme seperti The Language of Morals (1952), Essays on Political Morality (1989) dan Essays on Bioethics (1993).

H.M. Hare meninggal dunia pada 29 Januari 2002 akibat angin ahmar.

No comments: