"Salah satu faktor yang menyebabkan umat Melayu berpecah ialah sikap taksub dan fitnah." - Prof. Datuk Dr. Sidek Baba, Berita Minggu, 7 April 2013
Prof. Datuk Dr. Sidek Baba ialah seorang profesor pendidikan di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).
Beliau dilahirkan pada 12 Jun 1946 di Kampung Pulau, Masjid Tanah, Melaka.
Prof. Datuk Dr. Sidek Baba mendapat pendidikan awal di Melaka dan melanjutkan pelajaran di Maktab Perguruan Sultan Idris (MPSI, kini UPSI) Tanjong Malim, Perak.
Kemudian beliau menyambung pelajaran dalam bidang Pengajian Melayu di Universiti Malaya. Seterusnya melanjutkan pengajian di Universiti Kebangsaan Malaysia mengambil jurusan Diploma Pengajian Islam. Setelah itu ke Amerika Syarikat menuntut jurusan Sarjana Sains Pendidikan dan Doktor Pendidikan dalam bidang Kajian Dasar Pendidikan.
Sebagai seorang pendidik dan ahli akademik beliau pernah menjadi guru selama 18 tahun dan menjadi pensyarah di Institut Aminuddin Baki selama 5 tahun. Beliau juga pernah dilantik sebagai Timbalan Dekan Akademik Pusat Matrikulasi Universiti Islam Antarabangsa dan Dekan Pusat Matrikulasi dari 1992 hingga 1994 serta menjadi Timbalan Rektor Universiti Islam Antarabangsa dari tahun 1994 hingga 2002.
Beliau pernah aktif di dalam Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) dan pernah menjadi Lembaga Pengarah Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Lembaga Pengarah Darul Quran Malaysia, Lembaga Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Lembaga Penasihat Pendidikan Institut Integriti Malaysia, Lembaga Muafakat Majlis Amanah Rakyat (MARA) dan Lembaga Akademi Ketamadunan.
Prof. Datuk Dr. Sidek Baba juga aktif dalam bidang penulisan dan pernah dijemput menjadi penulis tamu untuk akhbar seperti Sinar Harian dan Berita Harian, juga pernah menulis buku antaranya seperti Melayu Perkasa dan Seteguh Tekad.
Beliau juga pernah menghasilkan skrip drama dan pernah menjadi Ketua Satu Persatuan Penulis Negeri Melaka (PENAMA) dan Presiden Madwah Persuratan Islam Malaysia (NAFIS).
No comments:
Post a Comment