"Hitunglah diri kamu sebelum kamu dihitung, timbanglah amalanmu sendiri sebelum ia ditimbangkan untukmu, dan bersedialah untuk hari pembentangan amal yang besar, sesungguhnya hisab pada hari kiamat menjadi ringan bagi sesiapa yang melakukan muhasabah diri di dunia ini." - Saidina Umar al-Khattab
Saidina Umar al-Khattab atau nama penuhnya Umar b Al-Khattab b Nufail b Abdul Uzza b Ribaah b Abdillah b Qarth b Razaah b 'Adi b Kaab ialah salah seorang sahabat Rasulullah SAW.
Menurut Imam Nawawi, Saidina Umar al-Khattab dilahirkan di Mekah 13 tahun selepas berlakunya peristiwa Abrahah melanggar Mekah.
Saidina Umar al-Khattab turut digelar sebagai al-Faruq bererti seseorang yang dapat membezakan antara yang benar dan yang batil. Gelaran tersebut diberikan oleh Rasulullah SAW.
Sebelum mendapat hidayah daripada Allah SWT Saidina Umar al-Khattab merupakan seorang yang menentang Rasulullah SAW. Bagaimanapun setelah mendapat hidayah dan memeluk agama Islam ketika berusia 27 tahun, Saidina Umar al-Khattab menjadi sahabat Rasulullah dan mempertahankan agama Islam sehingga titisan darahnya yang terakhir.
Saidina Umar al-Khattab mendapat hidayah setelah mendengar adik perempuannya yang telah memeluk Islam membaca ayat suci al-Quran.
Sebelum itu, Saidina Umar sedang dalam perjalanan hendak membunuh Rasulullah SAW, namun apabila beliau terserempak dengan seseorang dan orang itu memberitahunya bahawa adiknya telah pun memeluk agama Islam, beliau ke rumah adiknya dengan tujuan untuk memarahi dan membunuhnya. Bagaimanapun, niatnya terbatal setelah mendengar alunan ayat suci al-Quran yang dibaca oleh adiknya.
Saidina Umar al-Khattab juga merupakan orang pertama yang digelar Amirul Mukminin.
Beliau juga orang pertama yang menggunakan Hijrah sebagai kalendar Islam.
Pada 23 Ogos 633 Masihi (22 Jamadilakhir Hijrah) Saidina Umar al-Khattab telah dilantik menjadi Khalifah kedua Islam di dalam Khulafa al-Rasyidin.
Semasa zaman pemerintahannya, Saidina Umar al-Khattab telah berjaya meluaskan empayar Islam dan menawan Mesopotamia dan sebahagian kawasan daripada empayar Parsi, menawan Mesir, Palestin, Syria, Afrika Utara dan Armenia daripada empayar Byzantine (Rom Timur) dan juga menakluk Baitulmuqaddis.
Saidina Umar al-Khattab juga telah mengenakan hukuman pukulan sebanyak 80 kali ke atas peminum arak, mengharamkan nikah mut'ah, mewajibkan zakat ke atas kuda, menubuhkan jabatan-jabatan, sunatkan Qiyyam Ramadhan, mengarahkan solat jenazah secara berjemaah dengan empat kali takbir dan memperkenalkan al-'Aul (bertambah) dalam masalah Faraid (harta pusaka).
Saidina Umar al-Khattab wafat pada bulan November 644 Masihi (23 Hijrah) kerana dibunuh oleh seorang Parsi bernama Abu Lu'lu'ah atau Fairuz. Saidina Umar telah ditikam sebanyak enam kali oleh Abu Lu'lu'ah sewaktu menjadi imam di Masjid Nabawi, Madinah.
Saidina Umar al-Khattab dimakamkan di sebelah makam Rasulullah SAW dan makam Saidina Abu Bakar. Saidina Uthman al-Affan telah dilantik menjadi Khalifah seterusnya.
No comments:
Post a Comment