Wednesday, January 9, 2013

A. Samad Said

"Gelaran tidak ada makna apa-apa, yang penting adalah sumbangan." - A. Samad Said, WWW.ITNM.COM.MY (Edisi 2010, Bil. 2)

A. Samad Said ialah seorang sasterawan dan bekas wartawan warganegara Malaysia.

Nama sebenarnya ialah Abdul Samad bin Muhammad Said. Beliau dilahirkan di sebuah kampung bernama Belimbing Dalam, berhampiran bandar Durian Tunggal, Melaka pada 9 April 1935.

Beliau juga sering dipanggil Pak Samad.

Pada bulan Mei 1976, beliau telah digelar sebagai Pejuang Sastera oleh ahli-ahli bahasa dan kesusasteraan Melayu.

Pada tahun 1979 pula beliau telah menerima Anugerah Penulis Asia Tenggara (South East Asia Write Award) dan kemudian mendapat pengiktirafan sebagai Sasterawan Negara pada tahun 1985.

Pada tahun 1999 pula beliau diiktiraf sebagai Sasterawan Nusantara.

A. Samad Said memulakan tugasnya dalam bidang kewartawanan menerusi akhbar Fikiran Rakyat di bawah pimpinan Ahmad Boestamam di Kuala Lumpur. Kemudian beliau ke Singapura dan bekerja untuk akhbar Utusan Zaman dan seterusnya kembali ke Kuala Lumpur dan bertugas dengan The New Straits Times.

Novelnya yang pertama berjudul Gerhana tetapi kemudian judulnya ditukar menjadi Salina dan menjadi antara novelnya yang paling terkenal. Novel-novel lain tulisan beliau ialah Sungai Mengalir Lesu (1967), Langit Petang (1980), Daerah Zeni (1985) dan Hujan Pagi (1992).

Novel Salina pernah diadaptasi menjadi teater pada tahun 1986 oleh Johan Jaafar manakala novel Langit Petang pernah diadaptasi menjadi filem pada tahun 1982 yang diarahkan oleh Shaharom Mohd Dom. Filem tersebut dibintangi oleh Dharma Harun al-Rashid dan Azean Irdawaty.

A. Samad Said mendapat gelaran Datuk pada tahun 1997 daripada Yang di-Pertua Negeri Melaka.

Pada tahun 2009, Datuk A. Samad Said telah melancarkan Gerakan Mansuh PPSMI (GMP) yang menentang Pembelajaran dan Pengajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI). Datuk A. Samad Said bersama Dato' Dr. Hassan Ahmad, bekas ketua pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka turut terlibat dalam perarakan menentang PPSMI yang dikenali juga sebagai Perarakan Keranda Mac 2009.

Setelah terlibat dalam perarakan menentang PPSMI, Datuk A. Samad Said terlibat pula dalam suatu lagi perarakan iaitu Perarakan Bersih 2011 yang dianjurkan oleh gabungan parti pembangkang dikenali sebagai Pakatan Rakyat. Perarakan Bersih yang dikenali sebagai Bersih 2.0 ini ada sinambungannya iaitu Bersih 3.0 pada tahun 2012 di mana Datuk A. Samad Said adalah pengerusi bersama perhimpunan dan perarakan ini.

No comments: